KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengemukakan aduan kepada AmIslamic Bank berhubung transaksi keluar masuk dana daripada akaun peribadi miliknya meskipun bank menghantar penyata kepada pelanggan setiap bulan.
Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, berkata Najib tidak pernah membuat aduan kepada bank berkaitan salah urus akaunnya pada bila-bila masa termasuk ketika perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.
Saksi pendakwaan ke-37 berkata, beliau tidak mengetahui sama ada bekas Perdana Menteri pernah memfailkan tindakan undang-undang terhadap bank itu dalam tempoh di antara 2015 dan 2018.
“Bank mempunyai sistem yang mana penyata akaun dihantar kepada pelanggan setiap bulan, namun beliau (Najib) tidak pernah mengemukakan aduan berhubung pengurusan akaunnya,” ujar Uma Devi.
Pengurus bank itu menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan utama perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri.
Ketika ditanya Sri Ram, Uma Devi memberitahu, sepanjang pengetahuannya, keterangan beliau diterima oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes SRC International dan juga di peringkat rayuan.
Terdahulu, mahkamah diberitahu, Najib perlu dirujuk ke Hospital Kajang dekat sini bagi menerima rawatan ekoran keadaan kesihatannya yang agak teruk.
Sri Ram berkata, pegawai penjara memaklumkan kepadanya bahawa ubat tekanan darah tinggi yang diambil oleh bekas Perdana Menteri ditukar sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatannya.
Sehubungan itu, Sri Ram memohon perbicaraan terhadap Najib pada sebelah petang ditangguhkan bagi membolehkan beliau menerima rawatan di hospital pada pukul 2 petang.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan disambung esok seperti yang dijadualkan.
Turut hadir mengikuti prosiding perbicaraan hari ini ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, 70, dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, 34. – KOSMO! ONLINE