fbpx

Bangkai helikopter terhempas akan diserahkan kepada CAAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN helikopter yang terhempas di Hutan Simpan Chikus. FOTO IHSAN PDRM

TAPAH – Bangkai helikopter jenis Eurocopter EC120B yang hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam, akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, bangkai berkenaan akan diserahkan kepada CAAM bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa tersebut menjalankan siasatan nahas.

Menurut Mohd. Yusri, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mengawal lokasi kejadian bagi memastikan ia tidak diceroboh pihak tidak berkenaan.

“Kawasan nahas kita akan ‘secure’ (kawal) supaya tidak dimasuki orang yang tidak berkenaan, supaya tidak menganggu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Bidor di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat kesan letupan atau terbakar di lokasi kejadian, Mohd. Yusri menjawab tidak dan bangkai pesawat tidak terbakar.

“Lokasi dijumpai tidak ada kesan letupan dan kebakaran,” jawabnya ringkas.

Sementara itu, operasi mengesan helikopter berkenaan yang dihentikan malam tadi atas faktor cuaca buruk disambung semula pada pukul 8 pagi tadi, sebelum bangkai helikopter tersebut ditemui pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekitar pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu melibatkan kekuatan seramai 10 pegawai dan 197 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Jabatan Perhutanan.

Terdahulu, mayat juruterbang helikopter berkenaan Tsz Kin Richard Chan, 58, yang merupakan warga negara Hong Kong ditemui pasukan operasi SAR di bahagian kokpit helikopter sebelum berjaya dibawa keluar pada pulul 10.12 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI