fbpx

PPZ-MAIWP, PTPTN jalin kerjasama tingkat keberhasilan zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (kanan) pada Majlis Pertukaran MoU disaksikan Apli Yusoff serta Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bagi mengoptimumkan potensi dan keberhasilan zakat.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mungkin mampu untuk meningkatkan kutipan zakat tanpa sokongan dan kerjasama pihak luar.

“Untuk itu, PPZ-MAIWP sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada sektor kerajaan atau swasta untuk berganding bahu dalam menyebarluaskan dakwah zakat.

“MoU ini bukan sekadar permulaan strategik antara dua organisasi, tetapi sebagai pendorong kepada lebih banyak penglibatan kerjasama pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran MoU antara PTPTN dan PPZ-MAIWP di Menara PTPTN di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, beliau juga yakin dengan penyatuan kepakaran dimiliki setiap pihak dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff berkata, ia sememangnya menjadi hasrat dan misi utama PTPTN untuk mengajak masyarakat memulakan simpanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

“Justeru, kerjasama dengan PPZ-MAIWP dilihat sangat tepat pada masanya sebagai salah satu usaha proaktif PTPTN meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penabungan.

“Bagi pihak PTPTN, kerjasama strategik dilaksanakan bersama PPZ-MAIWP ini diharap dapat membantu masyarakat khususnya pembayar zakat di Kuala Lumpur agar mempunyai pengurusan kewangan yang baik menerusi tabungan awal di Simpan SSPN Prime,” tambahnya.

Pada masa sama, majlis tersebut turut menyaksikan Pelancaran Kempen Skim Didik Zakat & Simpan SSPN Prime (DZAS) yang berlangsung selama setahun bermula 1 September 2022 hingga 31 Ogos 2023 tertakluk kepada 5,000 peserta terawal.

Terbuka kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak berusia 15 tahun ke bawah, mereka hanya perlu menunaikan zakat harta mengikut kadar sebenar jumlah taksiran atau membayar serendah RM100 setiap seorang di PPZ-MAIWP dalam tempoh berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI