SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan sedang melengkapkan siasatan kes membabitkan dua laporan dibuat ke atas seorang pendakwah selebriti tanah air yang dikaitkan dengan jenayah amang seksual di negeri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, kedua-dua laporan terbabit melibatkan pengadu berusia 17 tahun yang diterima pihak polis pada bulan ini.
“Buat masa ini siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke pihak polis Bukit Aman untuk dikemukakan pula ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ruslan turut meminta mana-mana pihak tidak mencetuskan sebarang perkara yang boleh mengganggu siasatan dijalankan pihaknya.
Terdahulu, polis sudah menerima enam laporan polis setakat ini ke atas seorang pendakwah selebriti tanah air yang dikaitkan dengan kes jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki.
Empat laporan polis dibuat di Selangor manakala dua lagi dibuat mangsa di Negeri Sembilan.
Suspek berusia 40-an itu direman selama enam hari hingga 14 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE