PETALING JAYA – Gara-gara memuji kelunakan vokal penyanyi, Imran Ajmain, pengacara dan juga pelawak terkenal Sherry Alhadad mahu dijodohkan oleh peminatnya dengan lelaki asal Singapura itu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Sherry, 37, telah merakam video sewaktu Imran menyampaikan lagunya berjudul Seriu Tahun ketika membuat persembahan di majlis resepsi pelakon, Sharifah Amani pada malam tadi.
“Imran Ajmain, kenapa sedap sangat? Khas untuk pengantin Sharifah Amani dan Faris (suaminya),” tulis Sherry.
Dalam hantaran itu juga, pengacara program realiti Bis Stage itu juga memberitahu dirinya turut berasa kesunyian memandangkan rakan baiknya itu sudah pun mendirikan rumah tangga.
“Arghhh! Aku sunyilah dia (Amani) dah kahwin,” katanya sambil membuat riak wajah kesyahduan.
Penyanyi berusia 41 tahun itu kemudiannya dilihat membalas hantaran tersebut dengan meninggalkan komen memuji penampilan dan kecantikan Sherry pada majlis resepsi tersebut.
“Sherry, terima kasih banyak-banyak. Awak sangat cantik semalam,” puji Imran.
Komen Imran itu sekali gus menarik perhatian bukan sahaja netizen, bahkan dalam kalangan rakan artis apabila mahu melihat Sherry dan Imraj disatukan sebagai pasangan memandangkan kedua-duanya masih belum mendirikan rumah tangga.
“Masing-masing solokan? Eh! Bau nasi minyak. Eh salah, bunyi kompang,” usik pelakon Yana Samsudin.
“Imran pun solo. Macam mana? Bagai pinang dibelah dua. Nanti tiap-tiap malam dia dodoikan Sherry tidur. Seronoknya balik kerja penat-penat ada orang dodoikan,” kata seorang peminatnya.
“Apa lagi kak Sherry. Ayuh!” ujar seorang pengguna Instagram.
Sekadar info, Sherry ketika ditemu bual Kosmo! Online baru-baru ini mengakui hatinya masih ‘lompong’ daripada ditakluki mana-mana lelaki kerana terlalu sibuk dengan kerjaya berbanding meluangkan masa memikirkan soal cinta.
Namun, jauh di sudut hatinya, sebagai wanita Sherry tetap berharap dipertemukan jodoh dengan seseorang yang boleh menerima baik dan buruk dirinya. – KOSMO! ONLINE