JUARA dunia empat kali Dawid Mocke dan Danielle McKenzie mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan sulung saingan Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 yang berakhir di Pantai Teluk Cempedak semalam.
Dia dipaksa bekerja keras oleh Kent Jenkinson, 25, dan MacKenzie Hynard, 27, yang masing-masing menamatkan persaingan selaku naib juara dan pemenang tempat ketiga keseluruhan.
Dalam perlumbaan peringkat kelima sejauh kira-kira 20 kilometer di Pantai Teluk Cempedak, juara dunia empat kali berturut-turut sejak 2009 itu menamatkan perlumbaan dengan masa satu jam, 42 minit dan 23.75 saat.
“Empat peringkat pertama sangat sukar, tetapi peringkat hari ini ternyata lebih sukar. Nasib baik saya telah berjaya membina jurang masa agak selesa di hadapan Macca (Hynard) pada hari pertama.
“Kemudian saya mendahului Kent dengan masa agak baik selepas dua hari dan pada hari ketiga saya tahu hanya perlu kekal dekat dengan mereka berdua. Tetapi, perlumbaan hari ketiga paling sukar kerana mereka berusaha keras untuk meninggalkan saya.
“Pada peringkat keempat pula keadaan menyebelahi saya berhampiran pulau apabila Macca terperangkap di kawasan beralun. Kent berusaha kuat untuk meninggalkan saya, tetapi saya berjaya kekal hampir dengannya,” kata peserta dari Afrika Selatan berusia 45 tahun itu.
Daripada lima peringkat perlumbaan sejak Rabu lalu, peserta dari Afrika Selatan itu menang empat dan mencatatkan masa keseluruhan 6’47:05s.
Juara setiap peringkat kategori utama menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala juara keseluruhan membawa pulang RM15,000.
Sementara itu McKenzie menepati ramalan apabila menjuarai kesemua lima peringkat dengan mudah untuk mengaut RM30,000 dan pendayung dari New Zealand itu menamatkan peringkat kelima dengan masa 1’46:44.80s untuk merekodkan masa keseluruhan 7’15:26s.
“Saya datang bukan kerana hadiahnya, tetapi saya ingin mencuba air di sini. Saya menikmati perlumbaan dan saya akan memberitahu mengenai kejohanan ini kepada pendayung lain apabila saya menyertai kejohanan di Eropah selepas ini,” kata juara dunia 2019 berusia 28 tahun itu.
Sementara itu, pertaruhan terbaik negara dalam acara wanita Aimi Ayuni Azwan, 24, muncul peserta terbaik Asia setelah menamatkan perlumbaan lima peringkat ini di tempat kedua di belakang McKenzie.
Dia menamatkan perlumbaan semalam dengan masa 2’05:2272s dan 8’42:01 secara keseluruhan, meninggalkan pencabar terdekatnya Irin Neegree dari Thailand yang tiba di garisan penamat dengan masa 2’08:32.25s dan 8’46:22s secara keseluruhan.
POPIC 2022 berlangsung sebanyak lima peringkat melibatkan seramai 39 pendayung menyertai acara lelaki dan 11 bersaing dalam acara wanita untuk kategori utama ini.