fbpx

Jualan nasi campur RM5,000 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR AZIZAH (tengah) bersama suaminya tidak menang tangan menguruskan perniagaan nasi campur di premisnya yang terletak di Medan Selera Taman Siakap, Seberang Jaya.

SEBERANG PERAI – Seorang wanita dari Seberang Jaya di sini tidak menyangka akan bergelar usahawan nasi campur setelah enam tahun berkecimpung dalam bidang perbankan sebagai perunding penasihat insu­rans dan pelaburan sekitar tahun 2000.

Pemilik Jijah Nasi Campur, Noor Azizah Ariffin, 35 berkata, dia tekad menyambung perniagaan yang diusahakan arwah bapanya selama lebih 20 tahun itu kerana tidak rela melihat bisnes tersebut terkubur begitu sahaja.

“Saya ambil alih sebab sebelum arwah ayah meninggal, dia pernah sewakan kedainya kepada orang lain, malangnya penyewa tersebut tidak menjaga kedai ayah dengan baik sehingga berlaku beberapa kerosakan.

“Akhirnya saya ambil keputusan berhenti kerja di bank dan sambung pernigaan menjual nasi campur.

“Pada permulaan, saya hanya menyediakan lapan aneka lauk tanpa bantuan pekerja lain,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di premisnya di Medan Selera Taman Siakap di sini baru-baru ini.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, hasil jualan pada hari pertamanya hanya kira-kira RM80 dan jumlah tersebut sememangnya tidak pulang modal.

Pelanggan mula memenuhi kedai makan Jijah Nasi Campur setiap kali menjelang waktu tengah hari.

“Modal yang dikeluarkan ketika itu adalah sekitar RM200. Namun, berbekalkan semangat ingin meneruskan perniagaan arwah ayah, saya teruskan juga sehingga kini mampu meraih sekitar RM5,000 sehari. Syukur sangat,” ujarnya.

Dia menambah, jumlah lauk yang dihasilkan pula kini hampir mence­cah 100 jenis setiap hari berikutan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Antara lauk ‘laku keras’ ialah ikan keli masak berlada, ayam masak pedas serta ayam goreng.

“Ada pelanggan sanggup datang seawal pukul 10 pagi semata-mata ingin mendapatkan lauk ikan keli berlada dan ayam goreng di kedai kami,” katanya yang kini dibantu sembilan pekerja termasuk suaminya, Mohd. Usman Majid, 44 yang menyediakan minuman.

Noor Azizah berkata, dalam memastikan kehendak pelanggan sentiasa terjamin, dia akan memastikan bahan mentah serta masakan yang dihasilkan adalah sentiasa segar dan bersih.

“Walaupun bahan mentah seperti ayam, daging, telur dan lain-lain mengalami kenaikan harga, ia bukan alasan untuk saya mengabaikan kualiti makanan kerana saya percaya makanan yang dihasilkan bersih dan segar adalah kunci kepada keberkatan.

“Malah, saya juga mengekalkan harga lama sejak zaman arwah ayah berniaga lagi iaitu RM5 untuk nasi lauk ayam dan sa­yur kerana memahami situasi masyarakat yang terkesan de­ngan peningkatan kos sara hidup.

“Rata-rata pelanggan saya terdiri daripada pekerja kilang dan penduduk sekitar dalam kala­ngan B40,” katanya.

Tambahnya, dalam sehari kedainya menjual sehingga 80 kilogram nasi putih, manakala kehadiran pelanggan pula sekitar 300 orang bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang.

Mengakui pernah berdepan situasi tidak disenangi melibatkan beberapa pesaing lain ketika perniagaan nasi campurnya kian berkembang, Noor Azizah menjelaskan, dia mengambil pendekatan bersabar kerana tidak mahu bermusuh dengan sesiapa.

“Kalau orang tidak suka, saya hanya mendiamkan diri, saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan sebagai orang Islam, kita sepatutnya menyokong antara satu sama lain.

“Selebihnya adalah kerja Allah yang mendatangkan rezeki buat kita,” katanya yang memasang impian untuk membuka cawa­ngan baharu di sekitar negeri ini.

Kedai Jijah Nasi Campur dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat dan menyediakan aneka lauk yang sesuai dengan citarasa masyarakat tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI