GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan pemberian bantuan bernilai AS$7 juta (RM31.5 juta) daripada Tabung Bantuan Kecemasan Pusat (CERF) bagi meningkatkan tindak balas terhadap bencana banjir dahsyat yang melanda Pakistan, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.
Pembiayaan itu bertujuan membantu mencegah penyakit bawaan air dan wabak-wabak berisiko selain menyediakan makanan tambahan, air bersih dan penjagaan kesihatan reproduktif untuk penduduk paling terdedah serta makanan untuk haiwan ternakan.
Peruntukan itu dimaklumkan oleh Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Martin Griffiths yang berada di Pakistan untuk menyokong tindak balas bantuan.
“Penduduk Pakistan melalui ‘mimpi ngeri’ iklim terburuk di dunia. Mereka menghadapi gelombang haba yang meragut banyak nyawa tahun ini dan kini banjir besar.
“Rakyat di Pakistan layak menerima keadilan iklim, perpaduan antarabangsa dan sokongan dunia untuk menangani tragedi iklim ini,” katanya.
Peruntukan terbaharu itu menjadikan sokongan CERF kini berjumlah AS$10 juta (RM44.98 juta) berikutan pengeluaran AS$3 juta (RM13.5 juta) bulan lepas.
Minggu lalu, PBB melancarkan rayuan bantuan sebanyak AS$160 juta (RM719.68 juta) untuk membantu Pakistan menangani banjir yang telah mengorbankan kira-kira 1,400 orang termasuk beratus-ratus kanak-kanak.
Secara keseluruhannya, kira-kira 33 juta orang terjejas dengan akses kepada banyak komuniti yang terdedah terputus apabila beratus-ratus jambatan dan beribu-ribu kilometer jalan raya musnah atau dihanyutkan.
Banjir memusnahkan lebih setengah juta rumah dan lebih 660,000 orang kini tinggal di kem sementara.
Selain itu, lebih 750,000 ternakan yang merupakan sumber pendapatan kritikal bagi kebanyakan keluarga turut mati. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melaporkan bahawa 1.2 juta hektar tanah pertanian di Wilayah Sindh sahaja telah rosak.
PBB dan rakan kongsi kemanusiaan setakat ini menyokong tindak balas kerajaan dengan bantuan makanan kepada lebih 400,000 orang dan air bersih kepada 55,000 orang, selain menyokong 51 klinik penjagaan kesihatan bergerak. – AGENSI