fbpx

‘Beli Tesla pun sangkut dalam jem’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fungsi pemanduan automatik, tidak bermakna pemandu boleh melepaskan tangan sepenuhnya dari stereng. - Gambar hiasan

MINGGU lalu cuaca kerap hujan sama ada pada sebelah pagi atau petang. Kadang-kadang bermula awal pagi berlarutan sehingga ke tengah hari.

Kosmo! juga ada melaporkan keadaan cuaca tidak menentu berikutan fenomena garis badai yang boleh berlaku di beberapa kawasan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 6 September lalu turut mengeluarkan ramalan hampir semua negeri di Semanjung termasuk Sabah dan Sarawak bakal berdepan dengan taburan hujan yang lebih kerap.

Cuaca ‘romantis’ dan hawa dingin ibarat berada di Kundasang, Sabah lebih-lebih lagi pada waktu pagi ini diramalkan berlanjutan sehingga Februari 2023. Mujur minggu lalu cuti sekolah, kalau tidak ada yang perlu ‘berperang’ dahulu untuk siapkan anak-anak ke sekolah.

Ibu penulis yang berada di kampung juga ada mengadu tidak dapat meninjau kebun kerana hujan pada waktu pagi. Sidang seketika pada tengah hari, sebelum melebat kembali pada petang.

Golongan penoreh getah pun tidak merungut mana, yalah masing-masing mengadu harga getah agak statik sejak akhir-akhir ini. Antara RM2 hingga RM2.20 sahaja bulan lalu.

Baik usahakan kebun atau cari sumber lain untuk mencari pendapatan. Orang kampung yang ada kebun sawit mampu tarik nafas lega sekurang-kurangnya hasilnya masih boleh dituai dalam cuaca sebegini.

Di ibu kota, hujan dan kesesakan trafik adalah ‘berkadar terus’. Akrabnya ibarat hubungan pasangan suami isteri yang baru bernikah dan sedang berbulan madu.

Jika dahulu boleh beri alasan, naiklah pengangkutan awam mampu elak kesesakan trafik, namun jaringan sistem pengangkutan awam juga tidak mampu menampung pengguna pada waktu-waktu puncak.

Tiap pagi dan petang kita ‘bergelut’ pergi dan pulang bekerja. Hari hujan sahaja, bermaksud masa perjalanan kita bertambah kadang-kadang cecah dua jam untuk jarak yang memakan masa 40 minit pada kebiasaannya.

Pada minggu lalu, penulis semasa melalui Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) terlihat sebuah kereta model Tesla. Seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu dan dilihat menggunakan mod auto-pilot.

Penulis tidak pasti sama ada dalam pengetahuan pemandu itu bahawa dia melakukan kesalahan lalu lintas.

Memetik kenyataan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada April lalu, daripada perspektif PDRM, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai peraturan atau undang-undang terhadap sistem auto-pilot.

Walaupun dilengkapi dengan fungsi pemanduan automatik, tidak bermakna pemandu boleh melepaskan tangan sepenuhnya dari stereng.

Mungkin teknologi pintarnya mampu ‘mengelak’ objek atau kenderaan di sekelilingnya semasa atas jalan raya. Situasi trafik di Malaysia berbeza, bagaimana pula jika kenderaan lain yang merempuhnya?

Apa yang pasti, penulis dan pemandu Tesla tersebut sebelah-menyebelah sama-sama mengharungi kesesakan jalan raya menuju pusat bandar hari itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI