fbpx

JDT belum puas, idam dua lagi trofi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JDT menepati ramalan apabila berjaya merangkul trofi Piala FA selepas membenam cabaran TFC pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan tepat untuk membolot kejuaraan ‘quadruple’ Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas berjaya menjulang trofi Piala FA dengan menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di pentas final Piala FA kelmarin.

Keyakinan tersebut diluahkan oleh pengendali JDT, Hector Bidoglio apabila anak-anak buah­nya menunjukkan belang sebenar apabila mudah mendominasi saingan final sekali gus menjulang trofi kedua musim ini.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, JDT melakar kemenangan hasil dua gol ledakan Bergson Da Silva dan satu jari­ngan Arif Aiman Hanapi, manakala gol saguhati TFC dilakukan oleh Kipre Tchetche.

Kata Bidoglio, sasaran pasukan selepas ini adalah tertumpu kepada baki saingan Liga Super sebelum fokus terakhir adalah untuk bersaing pada kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bermula Oktober depan.

“Ini adalah keputusan yang cukup positif kerana melonjakkan lagi semangat pemain untuk mengharungi baki saingan dengan cemerlang. Kita sudah mendapat trofi Piala FA yang diidamkan.

“Selepas ini fokus terarah untuk meraih gelaran Liga Super yang semakin berada di penghujung saingan sebelum memberi tumpuan kepada kempen Piala Malaysia.

“Saya mahu pemain tidak berpuas hati dengan kejayaan semasa dan terus bekerja keras untuk merealisasikan impian membolot semua kejuaraan Liga M musim ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Kelantan FC pernah mencipta sensasi tersendiri apabila mencatat gelaran trebel pada kempen Liga M dengan menjulang trofi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Namun, jika JDT berjaya menjulang trofi Liga Super dan Piala FA nanti, mereka akan menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga M yang merangkul empat trofi apabila turut menjuarai saingan Piala Sumbangsih awal tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI