SEBERANG PERAI – Meskipun disahkan menghidap tiga jenis kanser sejak tahun 2016, namun ia bukanlah alasan bagi seorang wanita dari Kepala Batas di sini untuk meraih simpati ramai.
Robiah Rosni, 41, berkata, selagi nyawa dikandung badan, dia akan tetap berusaha mencari pendapatan bagi membiayai kos rawatan dengan menjual pes sambal, tepung serbaguna, kuih sejuk beku serta menerima tempahan masakan untuk sebarang acara majlis.
“Pada 2016, saya disahkan doktor menghidap kanser pangkal rahim tahap empat, kemudian kanser merebak pada bahagian perut dikenali Gastric Advance, empat tahun kemudiannya.
“Yang terbaharu pula disahkan menghidap kanser Chondrosarcoma pada awal tahun ini,” katanya di Bertam Perdana, Kepala Batas di sini baru-baru ini.
Ibu tiga anak berusia 16 hingga 19 tahun itu berkata, kehidupannya sekeluarga bertambah sukar apabila suaminya, Azhar Ahmad, 43, telah diberhentikan kerja ekoran terkesan dengan pandemik Covid-19 sekitar 2020.
“Sejak itu, sumber kewangan semakin menyusut sehingga memaksa saya untuk menghentikan pengambilan ubat bagi memperlahankan sel kanser kerana ubat tersebut agak mahal,” katanya.
Akui Robiah, di sebalik ujian yang dihadapinya, anak-anaknya ringan tulang membantu menambah pendapatan dengan menjual produk makanan yang dihasilkan di sekolah dan juga masjid sekitar.
Katanya, suami pula baru mendapat kerja kilang dekat Mak Mandin baru-baru ini.
“Malah, kariah masjid di kawasan perumahan serta komuniti masjid berhampiran banyak memberi sokongan kepada saya dan keluarga dengan membuat tempahan makanan untuk aktiviti tertentu.
“Pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) pula memberi bantuan dari segi kos pembedahan sebelum ini dan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari segi kelengkapan seperti katil serta barangan keperluan asas dan juga infaq orang ramai,” ujarnya.
Robiah memberitahu, dia kini hanya menjalani kemoterapi memandangkan rawatan itu sahaja jalan terakhir untuk memperlahankan sel kanser.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional Berhad miliknya 0799-5411-0015-1239 atau menghubungi Robiah di talian 018-6303 413. -KOSMO! ONLINE