KULIM – Sekalipun telah lama meninggalkan pasukan tentera, semangat patriotik dan cintakan negara tidak pernah luntur dalam diri seorang lelaki warga emas apabila dia sentiasa menghiaskan rumahnya dengan Jalur Gemilang dan bendera semua negeri setiap tahun.
Abdul Samat Lebai Salleh, 67, dari Taman Kenari di sini berkata, dia juga tidak berkira untuk mengeluarkan wang sendiri bagi membeli 250 helai Jalur Gemilang serta bendera negeri.
Katanya, usaha yang dilakukan itu turut mendapat sokongan isterinya, Rozita Yahya, 54, yang sama-sama menyemarakan sambutan Bulan Kebangsaan.
“Semangat patriotik dan cintakan negara sangat menebal dalam diri kerana saya seorang bekas tentera dan pernah berkhidmat semasa zaman komunis,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selain itu katanya, satu sudut dinding rumahnya turut dijadikan mini galeri yang mempunyai pelbagai gambar bersejarah serta pemimpin negara.
“Mungkin pada pandangan orang ramai, saya mendapat bendera ini secara percuma daripada pihak tertentu, namun hakikatnya bendera ini dibeli dengan duit sendiri. Hanya ada dua atau tiga helai yang diberikan oleh rakan-rakan.
“Sebagai pesara tentera, sambutan Hari Kemerdekaan pada setiap tahun amat bermakna bagi diri saya,” ujarnya yang telah bersara sejak 29 tahun lalu.
Menurutnya, golongan muda terutama kanak-kanak perlu dipupuk sejak awal untuk membentuk semangat cintakan negara dalam diri mereka.