AMPANG JAYA – Lelaki warga Afghanistan ditangkap selepas melakukan samun bersenjata dan bertindak menikam mangsa ekoran enggan menyerahkan wang di sebuah kedai runcit di Jalan Merdeka Permai 2, disini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang berusia 18 tahun itu didapati tidak bekerja serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Semalam, sekitar pukul 5 petang, pengadu yang juga warga Afghanistan, bekerja sebagai jurujual didatangi suspek dan memintanya untuk menyerahkan duit, namun enggan memberi kerjasama.
“Kemudian, suspek bertindak menikam jurujual tersebut menggunakan sebilah pisau sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan bahu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk diberikan rawatan.
Susulan itu, polis berjaya membuat tangkapan terhadap suspek sekitar pukul 1.45 pagi, di Jalan Wawasan, di sini hari ini.
“Sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan semasa kejadian dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE