PETALING JAYA – “Tahniah JDT menang Piala FA semalam. Sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor.”
Ucapan tahniah disusuli usikan itu dimuat naik oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor susulan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai trofi Piala FA malam tadi selepas menewaskan Terengganu FC (TFC).
Seperti sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pernah hangat di media sosial berhubung isu bola sepak terutama melibatkan pasukan JDT.
Malah, beliau pernah beberapa kali memuat naik status di Facebook yang berunsur usikan kepada pasukan tersebut.
Selain itu, beberapa hari lalu, beliau turut menyatakan sokongan kepada Terengganu FC untuk menewaskan JDT dalam final Piala FA.
Antara sebab beliau berbuat demikian adalah kerana isterinya berasal dari Terengganu.
Kosmo! melaporkan, Pasukan JDT menepati ramalan apabila berjaya menjuarai trofi Piala FA musim ini selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan kemenangan 3-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan jentera serangan utama terdiri daripada Bergson Da Silva, Leandro Velazquez dan Arif Aiman Hanapi. – KOSMO! ONLINE