SHAH ALAM – Fenomena air pasang besar yang memasuki hari kedua di Selangor masih dalam keadaan terkawal setakat ini.
Pemantauan di sekitar Klang, Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernam mendapati air berada di paras berjaga-jaga dan tidak mengakibatkan limpahan teruk.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, operasi pemantauan menyeluruh dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi lain bermula pukul 6 pagi tadi.
Katanya, beberapa lokasi dikenalpasti di kawasan pesisiran pantai semua daerah berkenaan yang berisiko banjir.
“Namun, laporan menunjukkan paras air pasang yang melebihi tiga meter (m) masih terkawal dan tiada limpahan teruk ke kawasan berdekatan.
“Cuaca baik turut menyebabkan air mula surut dan tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Semalam, penduduk negeri ini terutama di Klang dan Kuala Selangor diingatkan bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar bermula hari ini hingga Rabu ini yang berkemungkinan menyebabkan banjir apabila paras laut boleh mencecah sehingga 5.5 meter.
Fenomena itu turut dijangka berlaku antara 27 hingga 29 September ini apabila paras air laut pasang berpotensi meningkat sehingga 5.4 meter.
Jelas Hafisham, pemantauan menyeluruh antaranya melibatkan kawasan berisiko banjir iaitu di sekitar Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.
“Ia melibatkan kawasan Jeti Kuala Selangor, Jeti Sri Tama (Pulau Carey) dan Jeti Sri Tanjung (Batu 9 Sijangkang).
“Bagi kawasan Klang, pemantauan antaranya dijalankan di Jalan Kunci Air, Pengkalan Nelayan, Jalan Genting, Jeti Sayang D Sayang dan Pengkalan Sungai Keramat,” ujarnya.
Tambah beliau, paras air tertinggi dicatatkan di Klang iaitu 5.4 meter namun keadaan masih terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti penduduk setempat. – KOSMO!ONLINE