SEBERANG PERAI – Usahawan khususnya yang berada di luar bandar perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran digital bagi menghadapi persaingan perniagaan yang dilihat semakin kompetitif ketika ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan proses ‘peralihan’ iaitu penguasaan kepada kemahiran digital itu berjaya, usahawan-usahawan tersebut digalakkan menghadiri latihan serta program peningkatan kemahiran agar produk yang dipasarkan nanti dapat menarik perhatian pelanggan.
Menurut Mahdzir, beralih kepada pemasaran secara digital kini adalah norma baharu dalam perniagaan, namun memasarkan produk di media-media sosial sahaja tanpa strategi serta kemahiran yang betul mungkin tidak akan memberi impak berkesan.
“Untuk itu, KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) telah menyediakan banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar,menambah baik mutu dan kualiti produk sebagai persedian untuk memulakan perniagaan dalam talian termasuk menyediakan platform seperti DesaMall@KPLB,”katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan ekspo anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (Perda) atau dikenali sebagai Expert 2022 di Dataran Transformasi Usahawan, Midtown Perda di Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini, malam tadi.
Ekspo yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu itu melibatkan seramai 186 usahawan dalam pelbagai bidang termasuk makanan, pakaian, kosmetik, peralatan rumah dan sebagainya. – KOSMO! ONLNE