GEORGE TOWN – MCA mengambil sikap realistik dan tidak mahu dilihat terlalu angkuh apabila berdepan dengan DAP di Pulau Pinang ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Sehubungan itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA akan menggunakan teori yang pernah digunakan oleh DAP iaitu tidak memberi kemenangan mutlak kepada parti itu ketika PRU-15 nanti.
“Kita tidak bersikap angkuh tetapi kita realistik, kalau kita menang cuma di sesuatu kawasan dan ia belum cukup membentuk kerajaan kita akan jadi pembangkang yang berwibawa.
“DAP ketika menjadi pembangkang dahulu sering berkata jangan beri peluang kepada Barisan Nasional (BN) menang besar, jadi kita gunakan kembali teori DAP untuk tidak beri kemenangan mutlak kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Persiaran Bukit Jambul di sini lewat petang tadi.
Terdahulu, beliau merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Pantai Jerejak sebagai persediaan untuk parti itu menghadapi PRU-15 nanti.
Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, secara idealnya semua parti yang bertanding mahukan kemenangan besar dalam pilihan raya, namun bagi MCA perkara itu mahu dilakukan secara berperingkat di Pulau Pinang.
“Saya rasa ada orang kata kerajaan DAP agak kuat di Pulau Pinang kerana kita tidak pernah menang dalam mana-mana kerusi, kalau kita nak menang pun, mungkin bermula di beberapa kawasan. Bagi saya ia (menang kerusi Parlimen dan DUN) boleh dianggap sebagai matlamat jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.
”Sekiranya kita menjadi pembangkang pun, kita dapat melakukan semak dan imbang yang baik terhadap kerajaan kerana juga penting dalam sesebuah negara demokrasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE