HULU SELANGOR – Seorang peniaga yang sedang memancing bersama rakannya terkejut apabila menjumpai bom lama tertanam dalam tanah di kawasan tebing sungai berdekatan Rekreasi Sungai Kedondong, di sini pada 7 September lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun berhubung penemuan itu sekitar pukul 4.43 petang semalam.
“Lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu memaklumkan pada 7 September lalu sekitar pukul 2 petang dia dan rakannya sedang memancing di air terjun berdekatan dan terkejut selepas menjumpai bom lama yang tertanam sebahagiannya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis yang melakukan siasatan di lokasi mendapati bom seberat 50 kilogram (kg) itu adalah bom lama yang disyaki terjatuh dari kapal terbang tentera Jepun semasa perang.
“Bom yang mempunyai ukur lilit 42 inci serta panjang 42 inci itu telah tertanam dalam tanah di kawasan tersebut dan didapati tidak lagi aktif,” katanya.
Menurutnya, jarak dari jalan besar ke tempat bom dijumpai dianggarkan dua kilometer.
Jelasnya, Unit Bom dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bertindak memusnahkan bom tersebut sekitar pukul 2.50 petang tadi. – KOSMO! ONLINE