PERLUMBAAN peringkat keempat Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 yang berlangsung semalam menyaksikan dayungan juara dunia empat kali, Dawid Mocke sukar disaingi untuk dia memenangi kategori Open International Single Ocean Race lelaki di Pantai Cherating .
Pada perlumbaan semalam, pelumba dari Afrika Selatan itu bersaing sengit dengan dua pencabar terdekatnya pada peringkat awal sebelum Mocke dan Kent Jenkinson meninggalkan jauh MacKenzie Hynard apabila mereka tiba di boya kedua.
Mocke yang memenangi peringkat pertama dan kedua sebelum ini, tercicir ke tempat ketiga semalam, namun berjaya menamatkan perlumbaan sejauh kira-kira 20 kilometer itu dengan masa satu jam, 44 minit dan 4.07 saat, kira-kira 13 saat di hadapan Jenkinson yang tiba dengan masa 1’44:18.91s.
Hynard, yang memenangi peringkat ketiga di Pantai Balok, berlari dalam keadaan terhincut-hincut selepas mendarat untuk tiba di garisan penamat dengan masa 1’49:34.82s dan semakin tercicir daripada persaingan merebut juara keseluruhan.
“Perlumbaan hari ini (semalam) sangat sengit antara saya, Kent dan Macca (MacKenzie). Tetapi, kami berjaya meninggalkan Macca dan saya serta Kent bersaing sengit untuk 4km terakhir di mana dia beberapa kali merapati saya.
“Saya yakin peringkat kelima adalah paling sukar kerana kita akan menghadapi kombinasi sungai dan laut,” katanya.
Sementara itu, dalam acara wanita, pertaruhan terbaik negara Aimi Ayumi Azwan mencerahkan peluangnya untuk memenangi tempat kedua keseluruhan menjelang peringkat kelima dan terakhir esok setelah berjaya meninggalkan pesaing terdekatnya Irin Neegree hari ini.
Aimi Ayumi tiba di garisan penamat dengan masa 2’14:00.52s di belakang pendahulu keseluruhan Danielle McKenzie yang mencatatkan masa 1’49:26.14s.
Irin pula tiba dalam masa 2’15:10.37s, dan menyaksikan pesaing terdekatnya itu mengukuhkan kedudukan di tempat kedua keseluruhan walaupun terpisah kira-kira seminit.
“Selepas beberapa hari, saya sudah mula boleh membaca keadaan ombak. Hari ini sangat membantu walaupun peringkat ini paling sukar berbanding tiga yang awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE