AKSI final Piala FA 2022 melibatkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin meriah dengan suasana serta pelbagai gelagat penyokong dapat disaksikan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Antara yang menarik perhatian adalah penampilan empat ‘puntianak Terengganu’ yang dilihat ‘berkeliaran’ di perkarangan venue sejak petang tadi.
Kemunculan ‘puntianak’ yang dikenali dengan nama Firdaus Ridzuan Ramli, Saifudin Ramli, Syahmi Abdullah dan Firdaus Ibrahim berjaya menarik perhatian peminat kedua-dua pasukan.
Firdaus Ridzuan berkata, ini adalah kali kedua dia bersama saudaranya mengenakan imej sedemikian apabila pernah tampil dengan imej pocong ketika TFC ke final pada 2011.
“Kita tampil dengan imej pontianak tahun ini sebab tahun sebelum ini kami buat pocong dan pernah viral. Sudah 11 tahun kami tunggu untuk ke final, jadi kami tampil dengan imej pontianak untuk membakar semangat kita melawan JDT.
“Kami rancang benda sudah lama, jadi bila ada final kami buat. Malah setiap kali pergi final kami akan cuba buat kelainan.
“Imej puntianak boleh dianggap sebagai penawar, JDT jadi lemah. Harapan kami untuk melihat Terengganu menang Piala FA anggaran kita tak nak banyak, 2-1 saja,” katanya ketika ditemui media.
Sebagai rekod, skuad TFC berharap dapat menamatkan kemarau selepas 11 tahun tidak menjulang sebarang trofi domestik sejak kali terakhir pada Piala FA edisi 2011 dengan mengalahkan Kelantan 2-1. – KOSMO! ONLINE