LONDON – Suasana suram dilihat di Bradford, England ketika beribu-ribu penduduk Islam berkumpul di beberapa buah masjid di bandar itu untuk menunaikan solat Jumaat semalam, lapor akhbar Mirror UK.
Jemaah lelaki dan kaum wanita tidak kira muda atau tua, bercakap mengenai kejutan dan kesedihan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II. Ramai antara mereka menganggap mendiang sebagai ‘ikon’ yang mana ‘kehadiran baginda sentiasa meyakinkan’ untuk semua rakyat.
“Ia satu kerugian besar buat kami. Ratu Elizabeth II adalah seorang yang selalu saya berharap untuk mendapatkan ketenangan terutama dalam waktu sukar seperti semasa pandemik Covid-19. Apabila negara ini ditimpa masalah, baginda tidak kekok untuk menghulurkan bantuan.
“Saya rasa adalah luar biasa apabila baginda menyantuni Perdana Menteri baharu hanya dua hari lalu. Baginda tetap berbakti hingga ke akhirnya. Dalam dunia selebriti dan penuh skandal, baginda memberikan perasaan bahwa semuanya masih normal dan stabil,” kata seorang jemaah, Waheed Ali.
Imam Masjid Muhammadi, Alyas Karmani juga memberi penghormatan kepada mendiang.
“Kami mengenali Ratu Elizabeth II sepanjang hidup kami. Baginda adalah ibu kepada negara kami dan bagi orang Islam, taraf ibu begitu tinggi.
“Kehilangannya sangat menyedihkan bagi kami semua dan kami berdoa agar Allah SWT memberikan ketenangan dan ketabahan kepada keluarganya agar mereka dapat bersabar atas kehilangan itu,” katanya.
Pengerusi Lembaga Penasihat Kebangsaan untuk Masjid dan Imam, Imam Qari Asim pula berkata, Ratu Elizabeth II mempunyai ‘hubungan bermaruah’ dengan umat Islam di seluruh dunia.
“Banyak masjid memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth dan menzahirkan rasa terima kasih atas sumbangan baginda yang cemerlang dan terbilang dalam perkhidmatan awam. Baginda sangat menghormati semua agama dan kepercayaan,” katanya.
Semasa solat Jumaat di Masjid Pusat Bradford, khatib Molana Wajid Hussain melanggar tradisi khutbahnya untuk memberi penghormatan.
“Umat Islam Britain hidup dalam perpaduan dengan rakyat Britain lain pada situasi kesedihan ini. Berjuta-juta akan merinduinya. Baginda meninggalkan legasi kerjasama yang tiada tandingan di Komanwel untuk demokrasi, kemakmuran bersama dan keamanan. Baginda sepatutnya mendapat tempat yang istimewa dalam hati rakyatnya dan sejarah,” ujarnya. – AGENSI