Minat untuk mendalami mengenai kelakuan manusia mendorong gadis Pesona Ahad minggu ini, Nadra Zainal melanjutkan pengajian dalam jurusan bimbingan dan kaunseling.
Gadis berusia 23 tahun ini mahu menggunakan sepenuhnya ilmu yang diperoleh untuk membantu individu yang memerlukan, lebih-lebih lagi mereka yang mengalami tekanan atau kecelaruan minda.
Selain itu, kerjaya ibunya, Zahriah Ahmad Sabki, 58, sebagai pakar motivasi turut memberi inspirasi kepada anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini dalam mengejar cita-cita dan impiannya membuka klinik berkaitan kesihatan mental.
Kepada wartawan Kosmo! Ahad, gadis ini berkongsi termasuk pengalaman menyaksikan penjenayah mati ditembak di depan mata sewaktu berusia 19 tahun sekali gus memberi kesan trauma kepada dirinya.
Kosmo! Ahad: Mengapa Nadra pilih bidang kaunseling?
Nadra: Saya mempunyai minat mendalam untuk mempelajari tentang kelakuan manusia. Selain itu, saya mahu bantu orang ramai yang tertekan mengharungi cabaran dunia sekarang.
Apa cabaran menjadi pelajar kaunseling?
Tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk menguruskan klien yang mempunyai masalah berat terutamanya masalah kesihatan mental. Selain itu, cabaran lain untuk menangani klein yang datang lambat atau tidak hadir kaunseling. Ada juga klien yang memandang rendah keupayaan saya.
Kenangan yang sukar dilupakan?
Kejadian tembakan pada tahun 2018 yang berlaku berdekatan sebuah pasar raya di Kuchai Lama, Kuala Lumpur. Ketika itu, saya berusia 19 tahun. Perompak tersebut mati ditembak pasukan keselamatan di depan mata, sudah tentu ia sangat ngeri dan menakutkan.
Kesan sejak insiden jenayah tersebut?
Tidak dinafikan pada awalnya saya berasa trauma, namun ia beransur-ansur hilang. Cuma jika terdengar bunyi bising atau kuat secara tiba-tiba, saya terbayangkan bunyi tembakan tersebut (pada 2018). Selepas kejadian berdarah itu, saya tidak lagi menjejakkan kaki ke pasar raya tersebut sehingga hari ini.
Pengalaman manis dalam hidup?
Menerima hadiah berbeza pada setiap tahun ketika sambutan ulang tahun kelahiran saya.
Ciri-ciri lelaki idaman Nadra?
Saya tidak meletakkan sebarang ciri-ciri yang spesifik untuk dijadikan pasangan. Yang penting, lelaki itu bukanlah suami orang dan boleh melayan saya yang kaki makan.
Siapakah Nadra dalam masa 10 tahun akan datang?
Insya-Allah mungkin akan bergelar Puan Nadra.