fbpx

Aaron-Wooi Yik tidak boleh terleka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan Wooi Yik menerima durian runtuh selepas berjaya meraih gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia lalu.

PEMBANTU jurulatih badminton beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berharap agar beregu negara, Aaron Chia-Wooi Yik tidak terus dibuai dengan ganjaran lumayan mahupun populariti yang sedang meningkat ketika ini.

Bin Shen yang juga merupakan bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia itu berharap pasangan negara itu bijak dapat menguruskan kewangan dan juga tidak leka meskipun sudah mengecapi gelaran dunia yang mereka idamkan selama ini.

Tegasnya, beregu nombor lima dunia itu mempunyai misi besar terutama untuk memburu tempat ke Olimpik Paris 2024 dan memperbaiki pencapaian pingat gangsa diraih ketika di Tok­yo sebelum ini.

Beregu lelaki sensasi negara itu meraih insentif berjumlah RM250,000 seorang atas kejayaan menjuarai gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo pada bulan lalu.

Jumlah tersebut bakal bertambah lagi menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta ganjaran khas lain.

“Bagi saya mereka perlu bijak menguruskan kewangan. Mereka perlu faham bukan senang dapat peluang meraih ganjaran lumayan seperti ini. Mereka sudah menempuh pelbagai cabaran sebelum merasai nikmat seperti ini.

“Saya harap selepas ini, ja­ngan pula apabila sudah bekerja gigih dan dapat ganjaran, mereka tidak berusaha. Apapun, mereka perlu terus bekerja keras selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Bin Shen turut menasihatkan agar pasa­ngan negara itu bijak mengawal perasaan terutama menghadap pelbagai kritikan ataupun pandangan warganet yang mungkin mengganggu fokus mereka.

“Sebagai jurulatih saya kena ingatkan mereka terutama me­ngenai media sosial ini. Bagi saya, kita tidak boleh menghentikan kritikan orang di luar sana mahupun ubah pendapat mereka. Jadi, kita hanya boleh kuatkan diri sendiri dan tak perlu fikir masalah remeh-temeh seperti ini.

“Sebagai atlet banyak perkara perlu mereka fikirkan terutama tekanan di dalam gelanggang. Segala kritikan itu letak tepi,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI