MONZA – Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Max Verstappen sekali lagi dikenakan penalti lima grid ke belakang selepas menukar komponen enjin menjelang Grand Prix (GP) Monza malam ini.
Pada saingan di Belgium, Red Bull mengambil keputusan menggunakan enjin baharu sekali gus menyebabkan Verstappen dikenakan penalti grid.
Bagaimanapun, ia tidak mendatangkan masalah kepada pemandu berusia 24 tahun tersebut selepas melakar kemenangan berganda di Litar Spa-Francorchamps dan juga di GP Belanda.
Verstappen menegaskan dia tidak menjangkakan mampu memperoleh kelebihan yang sama seperti di Belgium kerana Monza agak berbeza berikutan keadaan litar tersebut lebih sempit.
“Monza tidak seperti Spa-Francorchamps terutama peluang untuk memintas pelumba hadapan agak sukar.
“Saya tidak menjangka perlumbaan tersebut akan menjadi mudah seperti di Spa-Francorchamps. Tetapi, jika kami dapat mencari jalan menembusi kelompok pertengahan saya rasa kami mempunyai peluang yang baik.
“Ferrari juga kelihatan baik. Saya tidak bimbang mengenainya. Perkara utama adalah jentera bertambah baik dan tidak mengalami sebarang masalah,” kata Verstappen.
Red Bull juga melakukan perubahan pada jentera Sergio Perez dan akan menggunakan enjin V6 yang baru sekali gus dijangka menerima penalti grid. – AGENSI