BARCELONA – La Liga mengesahkan had perbelanjaan baharu Barcelona telah meningkat hampir €800 juta (RM3.65 bilion) susulan penjualan aset-aset kelab berkenaan musim ini.
Barcelona menjual 25 peratus hak penyiaran televisyen domestik mereka untuk tempoh 25 tahun ke depan dan 49 peratus pegangan saham dalam Barca Studios berjumlah lebih €700 juta (RM3.19 bilion) secara keseluruhan.
Ia membolehkan The Catalan berbelanja lebih €150 juta (RM685 juta) membeli Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde selain Andreas Christensen, Frank Kessie, Hector Bellerin serta Marcos Alonso secara percuma.
Ia adalah pemulihan luar biasa ditunjukkan gergasi Sepanyol itu berbanding musim lalu selepas La Liga mengehadkan perbelanjaan kepada €96 juta (RM438.45 juta) sebelum ia diturunkan kepada -€144 juta (-RM657.68 juta).
Presiden La Liga, Javier Tebas menjelaskan, Barcelona berjaya mendapatkan €656 juta (RM2.99 bilion) yang diperlukan untuk membolehkan kelab itu mendaftar pemain-pemain baharu dalam tempoh ditetapkan.
“Barcelona mungkin perlu mengurangkan lagi perbelanjaan lebih kurang €200 juta (RM913.44 juta) dengan menjual pemain atau penjualan aset.
“Saya difahamkan oleh Eduard Romeu (Naib Presiden Barcelona) mereka perlu mencari €400 juta (RM1.82 bilion) lagi. Jika tidak, ia akan mendatangkan masalah untuk mereka kekalkan had perbelanjaan musim depan,” katanya.
Dalam masa sama, Tebas menegaskan, La Liga tidak memberikan layanan istimewa kepada Barcelona, sebaliknya semua pasukan di Sepanyol diberikan peraturan yang sama.
“Adakah Barcelona berisiko bankrap? Bagi saya, tidak. Walaupun bil gaji yang tinggi, tetapi mereka mempunyai banyak ekuiti dan boleh mencari jalan untuk menurunkan jumlah tersebut,” jelasnya. – AGENSI