fbpx

Misbun perlu segera buat ‘bedah siasat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISBUN

PUTRAJAYA – Ketiadaan wakil negara di pentas final Siri Antarabangsa Remaja Malaysia 2022 seharusnya dipandang serius oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelang Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022 bulan depan.

Aksi final yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11 hari ini menyaksikan semua lima kategori dimonopoli oleh Jepun dengan sembilan wakil selain satu dari Thailand untuk acara beregu campuran.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengakui, ia secara tidak langsung membuka mata mereka untuk meningkatkan prestasi pemain sebelum Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol bermula 24 Oktober depan.

“Selama ini kita tidak pernah melihat pemain remaja dari Jepun, China dan Korea Selatan. Saya fikir kita masih ada masa sebelum Kejohanan Remaja Dunia.

“(Datuk) Misbun Sidek (Pengarah Pembangunan Remaja BAM) dan pasukannya perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk membantu (para pemain) beraksi bagus di Kejohanan Remaja Dunia nanti.

“Mereka juga perlu segera lakukan post-mortem mengenai tahap prestasi pemain daripada kejohanan ini supaya sesuatu yang drastik dapat dilakukan sebelum ke Kejohanan Remaja Dunia,” katanya ketika ditemui pemberita pada kejohanan itu.

Sandaran terbaik perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terkandas di separuh akhir semalam selepas terpaksa menarik diri kerana mengalami kekejangan sekali gus tewas 21-17, 16-21, 13-18 kepada Yudai Okimoto dari Jepun.

Dua lagi wakil negara juga tewas di separuh akhir semalam iaitu beregu wanita, Chan Wen Tee-Siti Zulaika Muhammad Azmi dan beregu campuran, Choi Jian Sheng-Lai Ting Chen.

Kali terakhir Malaysia mempunyai juara dunia adalah menerusi Goh Jin Wei yang memenangi kategori perseorangan wanita edisi 2018 di Markham, Kanada selepas menewaskan pemain Denmark, Line Christophersen 21-13, 21-13. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI