HANYA air mata menjadi bukti keterujaan penyanyi dengan nama pentas Tom apabila terpilih menjadi antara peserta rancangan popular, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) baru-baru ini.
Air mata yang mengalir itu juga umpama simbolik kekuatan untuk dirinya terus berjuang kembali membina nama di persada muzik tempatan.
Kata Tom, dia seakan-akan tidak percaya apabila dipanggil untuk sama-sama bertanding dalam GV9 kerana berasa cukup kerdil untuk berentap bersama barisan penyanyi handalan lain.
Namun, demi berubah ke arah kehidupan lebih baik, Tom sanggup menyahut cabaran tersebut dan akan berjuang sehabis baik demi hadiah kemenangan wang tunai yang ditawarkan.
Benar. Itulah pengakuan yang terpancul daripada mulut pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram itu.
Bagi peserta lain, mungkin ada antara mereka memasuki GV9 sekadar mahu ‘suka-suka’ atau pun mencari pengalaman baharu.
Namun bagi Tom, antara sebab dia menerima tawaran untuk berentap adalah kerana habuan yang bakal diperolehi jika menang dalam pertandingan tersebut.
“Bagi peserta lain, mungkin ada yang kata masuk GV9 sekadar untuk suka-suka, untuk cabar diri sendiri. Tapi tidak bagi saya.
“Jujur saya masuk sebab mahukan hadiah kemenangan itu (wang tunai) untuk keperluan anak-anak saya,” kata Tom.
Tanpa berselindung, penyanyi berusia 37 tahun itu membuka tirai kisah hidupnya yang dihimpit kepayahan sejak bergelar ibu tunggal dan perlu menyara dua orang anak sendirian.
“Selama empat tahun saya menetap di Langkawi, Kedah dan mencari rezeki di sana. Pada mulanya saya menyanyi di kelab malam. Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan kerajaan, saya hilang mata pencarian kerana kelab malam ditutup.
“Jadinya perlu mencari alternatif lain dengan menyanyi di jalanan (busking) di sekitar Langkawi. Jujurnya pada ketika itu saya sangat malu. Tapi perasaan malu itu perlu saya buang segera demi mencari rezeki untuk anak-anak,” katanya.
Berbanding dengan kehidupannya sebagai penyanyi kelab malam, Tom berkata pendapatannya mungkin tidaklah ‘setebal’ jika menjadi penyanyi rakaman, namun duit yang diperoleh itu cukup untuk menyara kehidupannya serta anak-anak.
Namun, berbeza pula dengan pendapatannya ketika melakukan busking. Memang cukup ketara sehingga membuatkan dirinya berasa sedih mengenangkan nasib yang menimpanya.
“Pernah suatu malam saya menerima kutipan sebanyak RM6 sahaja yang perlu dibahagi kepada dua.
“Memang susah sangat waktu itu. Saya pula ibu tunggal yang perlu pelihara dua orang anak. Ramai yang tidak tahu dengan pelbagai masalah yang saya hadapi.
“Sebelum ini saya menyanyi di kelab malam, walaupun pendapatannya tidaklah begitu mewah, namun sekurang-kurangnya saya ada gaji tetap untuk menyara keluarga,” luah Tom.
Justeru, peluang yang diperoleh Tom dengan menyertai GV9 akan digunakan sebaik mungkin untuk menebus ‘kekesalannya’ terhadap bidang nyanyian yang pernah disia-siakan suatu ketika dahulu.
“Rasa macam tak percaya saya dapat sertai GV. Bila dapat tahu, saya menangis sebab rasa diri belum layak. Tapi Allah SWT beri saya peluang kedua selepas saya sia-siakan peluang pertama dahulu.
“Dahulu saya ghairah dengan kehidupan di kelab malam. Cuma sejak pandemik, saya cuba berubah dan menginsafi diri,” katanya.
Selama 17 tahun bergelar penyanyi kelab malam, Tom berkata dia semahu-mahunya enggan untuk menjejakkan kakinya lagi ke situ untuk mencari rezeki.
Namun pada masa sama, Tom juga tidak boleh menolak rezeki jika masih ada permintaan untuknya menjadi penghibur di sana.
“Saya rasa lagi berkat (busking) berbanding ketika saya menghiburkan orang yang mabuk di kelab malam. Ketika saya menjadi penyanyi jalanan, walaupun pendapatan tidak seberapa, tapi rasanya lebih bahagia.
“PKP banyak menginsafkan saya. Kalau boleh saya tidak mahu lagi menyanyi di kelab malam. Cuma kalau ada yang panggil, saya pergi juga sebab perlu teruskan hidup,” katanya.
Dalam pada itu, Tom turut mengharapkan penyertaannya dalam GV9 kali ini bakal memberi sinar baharu terhadap kerjaya nyanyiannya pada masa akan datang, sekali gus mampu mengubah hidup dirinya serta anak-anak.