PENGUMUMAN barisan peserta bagi program pertandingan sensasi nombor satu negara, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) nampaknya sudah diketahui ramai.
Dalam satu persatu nama yang diumumkan pengacara tempoh hari, boleh dikatakan ‘line up’ GV9 kali ini agak sedikit berbeza dengan sebelumnya.
Hampir sedekad mewarnai dan menghiburkan penonton dengan kemunculan semula artis-artis otai dan berbisa yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu, namun GV9 kali ini tidak nampak begitu.
Maaf kata, bagi edisi kali ini, nampaknya barisan artis baharu dan masih relevan serta aktif menyanyi semuanya ‘diangkut’ sama rata bagi memenuhi kuota peserta.
Tidak keterlaluan juga andai dapat disimpulkan bahawa GV9 kali ini agak sedikit terpesong daripada matlamat dan objektif sebenar penganjuran yang mahu mengangkat semula barisan artis handalan yang sudah lama ‘sendu’ dan ‘tidur’.
Tidak berhenti di situ, apa yang menjadi isu dan masih diperkatakan hingga ke hari ini adalah mengenai pemilihan penyanyi Shila Amzah yang dilihat baharu sahaja memenangi beberapa pertandingan seperti Anugerah Juara Lagu dan The Masked Singer.
Apa sebenarnya permainan Astro bagi GV9 kali ini? Rata-rata menyifatkan penyertaan Shila yang popular dan mencipta nama di negara Tembok Besar China itu sebagai tidak realistik sama sekali.
Tapi siapa kita semua untuk menentukan? Cukup sajalah keluhan dan ketidakpuasan hati yang dilemparkan dalam media sosial sebagai pengganti.
Meleraikan persoalan dan rasa tidak puas hati ramai tentang isu yang disifatkan sebagai ‘permainan’ produksi demi mengejar rating semata-mata, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad ada jawapan tersendiri.
Kata Raqim, Astro perlu tampil dengan format baharu bersesuaian dengan penganjuran GV yang sudah memasuki edisi kesembilan tahun ini.
“Sebelum pihak kami berjaya mendapatkan kesemua 16 penyanyi yang bakal terbabit dalam GV9, kami berjumpa dengan 40 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Hasil daripada pertemuan itu ada peserta yang mengalami masalah kesihatan hingga mereka tidak dapat nak menyertai GV9.
“Semua sedia maklum pentas GV memerlukan persiapan yang cukup mendalam kerana setiap minggu peserta akan diberi cabaran baharu sekali gus akan memberi tekanan kepada mereka.
“Justeru, mengambil kira faktor tersebut, kami berasa format GV perlu diubah sedikit memandangkan program realiti ini sudah memasuki edisi kesembilan sekali gus tidak boleh terlalu selesa serta perlu tampil dengan perubahan baharu,” katanya panjang lebar.
Tidak habis di situ, Raqim menambah, pihaknya terpaksa berbuat demikian kerana kebanyakan penyanyi lama tidak mencapai piawaian atau standard yang mereka mahukan dalam GV9.
GV9 yang dijadualkan bersiaran bermula Ahad depan bakal disaingi enam bintang solo lelaki membariskan Tomok, Bob Yusof, Roy Capella, Asheed Def Geb C dan dua peserta dari Singapura, Hazrul Nizam serta Fuad Rahman.
Penyanyi solo wanita yang turut menyahut cabaran dan menggegarkan pentas musim ini ialah Jaclyn Victor, Dina Nazir, Shila Amzah, Pat Candy, Haida dan Tom Fara.
Musim terbaharu GV turut menyaksikan penyertaan daripada kumpulan popular VE yang dianggotai Zaf, Cham, Adeep dan Hakim, sekali gus melengkapkan 16 penyertaan secara keseluruhan.
Ironinya, semua barisan bintang handalan sudah diketahui, tinggal lagi kita menyaksikan persembahan dan kebolehan mereka berentap vokal di atas pentas mega bagi merebut gelaran juara.