KLANG – Alatan bantuan tempat penginapan di pusat pemindahan sementara (PPS) perlu digerakkan seawal bulan depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut antara akan dibangkitkan kerajaan negeri dalam mesyuarat persediaan negara menghadapi bencana banjir bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin ini.
Katanya, ketika ini semua alatan itu berpusat yang boleh menyukarkan proses penyerahan apabila berlaku banjir.
“Kita belajar daripada tahun lepas misalnya alatan bantuan atau alatan tempat penginapan minta diturunkan awal pada bulan Oktober atau November ini.
“(Ini membolehkan) kita ready di lapangan serta tidak perlu travel jauh. Kelam kabut yang berlaku pada banjir lepas adalah dalam dua hingga tiga hari (awal banjir).
“Ini kerana banyak kawasan tersekat atau dibanjiri dan lori tidak dapat membawa barangan. Justeru, ada PPS tidak dapat berfungsi dan ada (mangsa banjir) pindah tempat lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan melawat projek naik taraf sistem saliran di Taman Melawis di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas antara cadangan akan dibawa kerajaan negeri bagi mesyuarat persediaan negara menghadapi bencana banjir pada Isnin ini.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan Ismail Sabri akan memanggil semua pihak berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), wakil-wakil kerajaan negeri dan lain-lain akan dipanggil untuk bermesyuarat agar persediaan dapat dilakukan lebih awal.
Menurut Amirudin, sedikit peruntukkan juga perlu disediakan kepada sekolah yang menjadi PPS untuk dilengkapi kemudahan tempat mandi khususnya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mempercepatkan projek tebatan banjir di negeri ini.
“Seorang exco akan hadir (mesyuarat itu) kerana kebetulan Isnin ini, saya ada Dewan Diraja. Namun, persiapan kita telah susun,” jelasnya.
Mengulas air pasang besar, Amirudin berkata, beliau meminta semua pihak terutama di Kuala Selangor dan Klang turun dilapangan bagi melihatkan situasinya, esok.
“Kadang-kadang duduk dapat report sahaja namun delay sejam atau dua jam, air sudah naik sampai rumah.
“Cuma, kita sudah beri alert kepada umum pada 11 hingga 15 September ini berlaku air pasang dengan ketinggian lebih lima meter. Pada 2021, ketinggian pada 4.7 dan 4.8 meter (m) tidak sampai 5.4m atau 5.5m (kali ini),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.