TELUK INTAN – Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI) sejak Rabu lalu akibat masalah paru-paru berair kini sudah boleh makan serta minum.
Menurut cucunya, Norhasliyana Hassan, 32, datuknya yang popular dengan lagu Cek Mek Molek itu juga sudah mula bercakap sejak pagi tadi.
“Kadar oksigen juga semakin pula, malah air dalam paru-parunya juga telah berkurangan. Keadaan itu membolehkan dia minum tanpa menggunakan tiub lagi.
“Dia juga tidak sesak nafas. Kami semua gembira dengan perkembangan itu kerana dia akan dibenarkan pulang ke rumah tidak lama lagi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Norhasliyana, kemasukan datuknya ke HTI kali ini merupakan kali keempat dia dimasukkan ke hospital, dengan sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Selayang bagi kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.
“Dia juga pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada dua tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, isterinya Datin Rohani Awang Ngah, 62, mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang datang menziarahi serta mendoakan suaminya itu.
“Kalau ada yang kata suami saya dah meninggal, itu biasa saya lalui. Kalau dia masuk hospital mesti ada khabar angin sedemikian,” katanya. – KOSMO! ONLINE.