PETALING JAYA – Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) menggesa 13 ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengambil inisiatif untuk berunding dengan peniaga runcit mengenai langkah yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Presidennya, Hong Chee Meng berkata, PSSC perlu membuat rundingan dengan semua pihak dalam perniagaan runcit sebelum membuat keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada perniagaan sekali gus akan mengubah cara sektor runcit beroperasi.
“Belum ada sebarang perbincangan dengan perniagaan runcit dan kami tidak tahu bagaimana ia akan dilaksanakan dan apakah keperluan untuk dipatuhi oleh sektor runcit.
“Kami hanya membaca daripada berita bahawa Kementerian Kesihatan mahu menghentikan penjualan kepada individu yang lahir selepas 2007 dan mungkin terdapat sistem penjejakan digital yang akan diperkenalkan untuk menjejak dan memantau transaksi ke atas produk tembakau dan vape,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Chee Meng menerangkan, rang undang-undang yang dicadangkan itu termasuk pengharaman produk tembakau dan vape kepada mereka yang lahir selepas 2007 dan larangan pameran produk secara runcit telah dibuat tanpa penyelidikan dan perundingan terperinci dengan perniagaan runcit yang merupakan barisan hadapan di dalam sektor peruncitan.
Tambah beliau, penjualan produk tembakau menyumbang kepada aliran pendapatan perniagaan kedai runcit dan ia menyediakan aliran pendapatan yang stabil untuk membantu menampung kos operasi harian dan sejak kebelakangan ini untuk pulih daripada kemelesetan ekonomi akibat pandemik.
“Larangan itu secara beransur-ansur akan menghilangkan aliran pendapatan kami dalam jangka panjang.
“Selain itu, kita juga menghadapi persaingan sengit daripada produk haram,” jelasnya.
Chee Meng memaklumkan bahawa, terdapat begitu banyak produk di pasaran yang tidak mematuhi undang-undang Kementerian Kesihatan dan semuanya dijual di bawah harga minimum RM12.00 seperti yang dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan.
Perkara ini perlu ditangani terlebih dahulu sebelum sebarang langkah dan dasar baharu dipertimbangkan,” jelasnya.
FSGMAM percaya bahawa pihak berkuasa sebaliknya harus menumpukan perhatian kepada memerangi masalah ini yang menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit hasil cukai dan memberi kesan kepada perniagaan yang sah sebelum ingin memperkenalkan dasar baharu.
“FSGMAM berharap PSSC akan menjemput semua perniagaan runcit untuk berunding secara mendalam mengenai perkara ini sebelum memuktamadkan keputusan mereka mengenai rang undang-undang itu.
“Malah, lebih banyak kajian dan semakan perlu dilakukan memandangkan ia akan memberi impak kepada perniagaan runcit,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE