BEIJING – Seorang lelaki di China berjaya diselamatkan selepas dua hari terperangkap di hutan apabila belon hidrogen dinaikinya diterbangkan sejauh lebih 300 kilometer (km), lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Insiden tersebut berlaku semasa mangsa sibuk menuai kacang pain.
Lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarga Hu itu bekerja bersama seorang rakan di sebuah ladang kacang pain di daerah Hailin pabila belon udara mereka hilang kawalan.
Rakannya sempat terjun menyelamatkan diri, namun Hu terperangkap di dalam belon dan terus hanyut ke dalam hutan.
Dia ditemui pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) Selasa lalu apabila pasukan penyelamat yang terdiri daripada lebih 500 polis dan bomba tempatan, menemui belonnya tersangkut pada sebatang pokok.
“Saya hampir putus asa. Terima kasih kepada penyelamat atas operasi menyelamat ini kerana jika tidak, saya tidak akan hidup,” kata Hu.
Hu berada dalam keadaan kesejukan dan kelaparan semasa ditemui namun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian pinggang.
Penggunaan belon hidrogen atau helium untuk menuai kacang pain menjadi lebih biasa di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi