PENGENDALI kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyeru agar barisan pemain menunjukkan belang sebenar menjelang aksi final Piala FA bertemu dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Menurut Hidoglio, aksi final adalah medan terbaik buat barisan pemain untuk mempamerkan prestasi terbaik dengan menyerapkan taktikal yang diterapkan terutama dalam penguasaan bola.
“Saya percaya barisan pemain telah belajar daripada kesilapan lepas dan fokus kini terarah untuk mengharungi perlawanan akhir. Sekarang adalah masa untuk pemain membuktikan keupayaan sebenar kerana ini adalah pentas final.
“Pada masa sama, kita cukup menghormati TFC sebagai satu pasukan dan saya harap pemain dapat menerapkan arahan taktikal yang telah diatur untuk kekal kompak dan tidak membuka ruang buat pasukan lawan.
“Mengenai status pemain, semua bersedia untuk diturunkan dan saya positif dengan keupayaan pasukan selepas mengharungi sesi latihan cukup intensiti sepanjang minggu ini,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil semalam.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama JDT mara ke peringkat final Piala FA selepas menjuarai edisi 2016 apabila menewaskan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) dengan keputusan 2-1.
Sementara itu, kapten skuad Harimau Selatan, Farizal Marlias mengakui cukup teruja untuk beraksi dalam pentas final Piala FA pertama dalam kariernya meskipun masih belum pasti siapa yang akan menjadi penjaga gol utama pada aksi malam nanti.
Situasi ini kerana Bidoglio telah menggunakan penjaga gol muda, Haziq Nadzli pada beberapa aksi Liga Super sebelum ini.
“Keputusan untuk pemain yang diturunkan terletak pada tangan jurulatih dan kami sebagai pemain perlu bersedia 100 peratus.
“Secara jujur, jika diberi kesempatan saya mahu bermain kerana pada edisi 2016, saya tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan.
Sudah tentu saya cukup teruja untuk tampil pada final kejohanan berprestij ini,” kata pemain berusia 36 tahun itu.
Skuad JDT mengharungi kempen cemerlang musim ini selepas menjuarai trofi Piala Sumbangsih, selain hampir pasti mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-9 berturut-turut.