fbpx

KPT sasar lebih ramai usahawan IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAINI (dua dari kanan) melawat gerai usahawan pelajar sempena Program KPT Prihatin Keluarga Malaysia Edisi Keusahawanan di UMT, Terengganu.

PETALING JAYA – Seramai 93,352 mahasiswa telah menceburkan diri dalam aktiviti keusahawanan atau perniagaan sepanjang tempoh pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing tahun lepas.

Jumlah tersebut merupakan satu kejayaan buat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila data yang direkodkan menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding 68,937 mahasiswa pada 2020.

Kejayaan itu selari dengan tujuan penganjuran program KPT Prihatin Keluarga Malaysia (KPKM) Edisi Keusahawanan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang turut menyasarkan penyertaan dalam kalangan para belia dan mahasiswa.

Bermula dengan lokasi pertama di Putrajaya pada 12 April lalu, program KPKM berkenaan akan terus menjelajah ke seluruh negara sehingga Mei tahun depan bagi membawa pelbagai aktiviti khusus dalam membantu para usahawan kecil dan sederhana memantapkan perniagaan mereka.

Terbahaharu, Universiti Malaysia Terengganu menjadi lokasi pilihan sebagai tuan rumah sempena jelajah KPKM di negeri Terengganu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, KPKM merupakan manifestasi kementerian dalam mendukung kelestarian agenda keusahawanan di IPT.

“Pelaksanaan program berkenaan juga sejajar dengan aspirasi kementerian untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT.

“Penganjuran program secara kolaboratif seumpama ini banyak memberikan manfaat kepada rakyat, lebih-lebih lagi dalam aspek pengetahuan tentang keusahawanan,” katanya ketika berucap semasa siri jelajah KPKM di Dewan Sultan Mizan, UMT, Terengganu, kelmarin.

Berkongsi perkara gembira, Noraini memaklumkan seramai 9,131 atau 9.78 peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa yang menceburi aktiviti keusahawanan di IPT masing-masing memilih untuk meneruskan bidang tersebut selepas menamatkan pengajian.

“Ini melepasi sasaran enam peratus pelajar yang menamatkan pengajian menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya yang telah KPT tetapkan pada tahun 2021,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noraini turut memuji pihak pengurusan UMT di atas kejayaan Projek Ternakan dan Eko Pelancongan Lebah Kelulut melibatkan komuniti di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu.

“Projek seumpama ini sangat bagus kerana ia bukan sahaja selari dengan aspirasi Kementerian untuk memacu kesejahteraan komuniti, namun lebih penting, projek-projek sebegini akan membantu meningkatkan lagi sosioekonomi rakyat.

“Saya melihat produk-produk yang dibangunkan oleh pelajar dan juga komuniti yang saya kira amat berpotensi untuk dikomersialkan secara meluas. Ini semua adalah hasil daripada bimbingan pakar-pakar IPT,” jelasnya.

Noraini berkata, ia adalah satu pencapaian yang patut dipuji kerana usaha ini telah berjaya membentuk sinergi ekosistem antara keusahawanan, akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Menariknya, pada siri jelajah KPKM itu, pihak UMT mengambil inisiatif menganjurkan klinik keusahawanan dan jaringan ­perniagaan serta perkongsian pakar universiti ber­kenaan dengan ilmu pemasaran digital, ­promosi dan literasi perundangan perniagaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Noraini turut ­berkongsi satu inisiatif yang dilaksanakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam mewujudkan instrumen simpanan menerusi Program Kembara Keluarga Simpan SSPN yang dilancarkan pada Khamis lalu.

“Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan untuk manfaat Keluarga Malaysia serta menjadi platform terbaik untuk ibu bapa membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.

“Program ini adalah salah satu program CSR PTPTN yang bertujuan membantu pelajar asnaf daripada aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan sebagai jaminan masa depan Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Jelasnya, program ini adalah bukti usaha-usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin dalam membantu dan menyokong masyarakat memartabatkan pendidikan.

Sebagai maklumat tambahan, program Kembara Keluarga Simpan SSPN ini melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 14,700 pelajar asnaf di 147 kawasan terpilih di 10 negeri dan siri jelajahnya dimulakan di Terengganu membabitkan peruntukan RM80,000.

Sumbangan yang diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.47 juta. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI