fbpx

EPL: Graham Potter dilantik pengurus Chelsea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POTTER membuat keputusan meninggalkan Brighton untuk menerima tawaran menjadi pengurus baharu Chelsea. – AFP

LONDON – Chelsea mengesahkan kehadiran pengurus baharu selepas melantik Graham Potter untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Thomas Tuchel selepas pengendali Jerman itu dipecat pada Rabu lepas.

Sebagai rekod, skuad The Blues tidak mempunyai masalah untuk menebus klausa kontrak bernilai £16 juta (RM83.1 juta) kepada Potter yang sebelum ini membimbing pasukan Brighton, sekali gus menjadi pengurus ke-30 dalam sejarah kelab itu.

Kata Potter, kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan untuk menawarkan kontrak jangka panjang selama lima tahun untuk membimbing kelab gergasi seperti Chelsea adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya sangat berbangga apabila dapat menyertai kelab se­perti Chelsea yang memiliki sejarah luar biasa. Kini adalah masa untuk saya membalas kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan tertinggi dalam memastikan pasukan tampil cemerlang pada masa akan datang.

“Dalam masa yang sama, saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan Brighton yang memberi ruang dan peluang untuk saya menunjukkan bakat sejak musim 2019,” katanya.

Sementara itu, pemilik kelab Chelsea, Todd Boehly optimis keputusan pasukan untuk mengambil risiko dengan memilih pengendali ‘bukan nama besar’ seperti Potter adalah tindakan yang bijak, selain mengukuhkan projek jangka panjang pasukan.

“Potter telah menunjukkan prestasi yang konsisten bersama Brighton sebelum ini dan tiada keraguan mengenai keupayaannya selaku pengurus pasukan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI