fbpx

JDT jadi pilihan, TFC penuh harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON

EDISI ke-32 final Piala FA yang akan berlangsung malam ini mempertemukan, dua pasukan handalan tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Setelah dua musim penganjuran saingan tersebut dibatalkan pada 2020 dan 2021 ekoran penularan pandemik Covid-19, keghairahan untuk merebut trofi berkenaan kembali hangat selepas kali terakhir dimenangi Kedah Darul Aman FC yang menewaskan Perak FC pada 2019 lalu.

Biarpun sudah lapan kali bergelar juara Liga Super sejak 2014, JDT sudah pastinya tidak akan memandang enteng peluang untuk membawa pulang trofi berkenaan ketika mereka sekali sahaja mendakap kejuaraan ketika era kebangkitan di bawah pengurusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2012.

JDT merasai nikmat menjulang Piala FA buat kali pertama pada 2016 ketika di bawah kendalian Mario Gomez sejak diperkenalkan pada 1990 apabila membenam PKNS 2-1 pada perlawanan akhir.

Selepas era kebangkitan, mereka turut berada di pentas final pada 2013, namun pulang hampa apabila dikecewakan oleh Kelantan ketika itu.

Berdasarkan statistik, JDT dengan prestasi semasa ketika ini sudah pasti dianggap sebagai pilihan kerana memiliki kekuatan dan kesempurnaan hampir di semua posisi termasuk barisan pemain simpanan mereka.

Hector Bidoglio yang masuk menggantikan Benjamin Mora juga tidak mengambil masa yang lama untuk membuatkan pemain JDT memahami falsafah bola sepak yang diinginkan.

Sekiranya rekod pertemuan dijadikan ukuran, TFC melangkah ke perlawanan akhir dengan agak goyah apabila mereka tewas dalam tujuh pertemuan sebelum ini daripada 10 aksi dan hanya menang sekali, manakala baki dua lagi perlawanan berakhir seri.

Namun, bola sepak bukanlah mengenai statistik, tetapi ia berkisar apa yang akan berlaku 90 minit aksi dengan nasib terletak pada percaturan jurulatih dan sejauh mana keinginan pemain memenanginya.

Kebangkitan skuad kendalian Nafuzi Zain agak ketara apabila mereka mencatat empat kemenangan berturut-turut termasuk membelasah Melaka United 5-0 minggu lalu berbanding JDT yang hanya mencatat dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan pada empat aksi terakhir bagi semua kejohanan.

Ia pastinya menjadi isyarat penting bahawa TFC enggan lagi mengakhiri musim ini tanpa sebarang kejuaraan, malah pengalaman empat kali berada di pentas final dengan dua daripadanya berakhir dengan kejayaan pastinya menjadi bekal azimat.

Ketika Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan sebanyak 78,000 tiket disediakan dan semua dikatakan sudah habis terjual, bermakna Bukit Jalil bakal dibanjiri para peminat bola sepak yang sudah tidak sabar untuk memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Namun, dalam keghairahan tersebut janganlah kita lupakan susila yang sentiasa dituntut dalam kehidupan, turunlah dengan semangat kesukanan dan pulanglah dengan penuh kesantunan tanpa sebarang insiden yang membuatkan imej bola sepak negara tercalar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI