JAKARTA – Seorang lelaki di Jogjakarta bertindak santai apabila bersalaman dengan individu yang memakai baju corak sama dengan dirinya, lapor laman berita Suara semalam.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter itu, lelaki yang kelihatan berusia dalam lingkungan 40-an itu sedang bersiar-siar di sebuah pasar raya sebelum terserempak dengan seorang lagi individu yang memakai baju serupa.
Jika pada kebiasaannya, seseorang akan memilih untuk tidak bertembung dengan pemakai baju serupa kerana berasa malu, lelaki itu bertindak sebaliknya.
Dia tanpa rasa kekok berjalan ke arah individu berbaju serupa itu dan bersalaman dengannya malah sempat berbual kosong.
“Jika orang lain lari melihat individu berpakaian sama, dia pergi berbual dengan individu tersebut,” tulis kapsyen video.
Perbuatan ramah lelaki itu mendapat pujian netizen yang berasakan sikap tersebut patut dicontohi.
“Lelaki ini membuktikan tiada salah jika beli pakaian di kedai sama dan terserempak dengan orang yang memakai baju serupa,” komen seorang pengguna media sosial.
Video tersebut telah mendapat puluhan ribu tanda suka dan diulang ciap beribu-ribu kali. – Agensi