fbpx

Malaysia perlu ke suku akhir – Arul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL (kiri) menegaskan bahawa Malaysia akan menurunkan kesebelasan terbaik biarpun tanpa beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan pada saingan Piala Sultan Azlan Shah.

PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj menganggap undian memihak kepada pasukannya selepas diundi dalam Kumpulan C Piala Dunia 2023 di India bermula 13 hingga 29 Januari depan.

Malaysian Tigers, No.10 dunia, diundi bersama juara Eropah yang juga finalis edisi lalu, Belanda selain New Zealand dan Chile pada saingan yang diadakan di dua bandar di India iaitu Bhubaneswar serta Rourkela.

Secara peribadi, Arul melontarkan keyakinan mahu memastikan pasukannya mampu melepasi halangan peringkat kumpulan dengan melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

“Undian ini menguntungkan. Kita gembira untuk berada dalam kumpulan ini dan akan cuba sebaik mungkin ke pusingan seterusnya. Secara peribadi saya nak ke suku akhir,” katanya.

Berdasarkan undian itu, Belanda yang ketika ini berada di ranking ketiga dunia dilihat sebagai pasukan paling sukar dikalahkan sekali gus menjadi calon utama untuk menjuarai aksi Kumpulan C.

New Zealand pula hanya berada satu anak tangga di atas Malaysia dalam carta ranking dunia, manakala Chile jauh di bawah pada kedudukan ke-23 dunia.

“Dari segi persediaan pemain-pemain yang mereka lakukan sekarang dan juga aksi-aksi antarabangsa yang kita akan dapat nanti, kita kena keluar untuk menang.

“Secara realistiknya kita kena menang dengan New Zealand dan Chile. Apabila kita menentang Belanda, kita perlu bermain dengan lebih bijak,” jelas Arul.

Malaysia akan berlepas ke Jelajah Eropah pada 14 September ini untuk bermain empat perlawanan dengan Sepanyol di Barcelona bermula 20 Oktober depan dan disusuli dua aksi bertemu Perancis di Belgium .

Selepas itu, mereka akan pulang ke tanah air untuk menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh, Perak dari 1 hingga 10 November.

Kemudian, skuad negara akan bertolak ke Potchefstroom, Afrika Selatan untuk menyertai saingan Piala Negara-Negara FIH menentang Kanada, Jepun dan Korea Selatan dalam saingan Kumpulan B pada 28 November depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI