fbpx

20 pengikut ‘kultus kiamat’ hilang di Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota mencari dan menyelamat serta beberapa agensi penguatkuasa undang-undang kini sedang mencari mereka yang hilang. – Facebook

LA GRITA, VENEZUELA – Sekitar 20 orang termasuk lima kanak-kanak dilaporkan hilang di Venezuela selepas mereka mengikuti aktiviti sebuah  kumpulan ‘kerohanian’ pimpinan seorang wanita yang mendakwa dirinya mendapat ‘wahyu’ bahawa dunia akan kiamat, lapor portal berita MailOnline semalam.

Rosa Garcia, 57, dikatakan memujuk 40 penduduk bandar La Gita, negeri  Tachira untuk menyertai kumpulannya mengadakan  aktiviti kerohanian di Taman Negara Juan Pablo Penaloza pada 22 Ogos lalu, lapor akhbar La Nacion.

Dia juga didakwa memberitahu ahli-ahli kumpulan tersebut bahawa mereka akan mengadakan pertemuan rohani dengan ‘Tuhan’  di sebuah kawasan yang tidak didedahkan di taman negara tersebut.

Semua ahli sepatutnya dijangka pulang Khamis lalu, namun mereka dilaporkan hilang selepas tidak kembali ke rumah masing-masing.

Menurut La Nacion, sebilangan individu menarik diri daripada kumpulan tersebut selepas Garcia mula berkelakuan aneh selain mengarahkan pengikutnya membuang telefon bimbit masing-masing.

Pihak berkuasa Venezuela kelmarin memaklumkan bahawa sembilan  individu hilang itu terdiri daripada sebuah keluarga yang sama, manakala kumpulan itu bergerak dengan menggunakan dua buah kenderaan.

Datuk Bandar La Grita, Juan Carlos Escalante berkata, 160 pekerja mencari dan menyelamat serta beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang meneruskan usaha  mencari mereka yang hilang.

Beberapa dron dan anjing pengesan turut dikerah bagi meluaskan lagi kawasan pencarian.

Isnin lalu, pihak berkuasa menemui sebuah kawasan ladang terbiar, di mana sebilangan mangsa yang masih hilang didapati meninggalkan beberapa helai pakaian serta makanan di situ.

Menurut penduduk tempatan, Garcia menubuhkan kumpulan agamanya sendiri yang kerap berkumpul bersama-sama dan mengadakan sesi berdoa untuk individu yang menghidap penyakit.

Sebilangan penduduk berkata, kumpulan itu bagaimanapun menukar aktiviti daripada amalan keagamaan kepada bersifat fanatik dengan ahli-ahlinya sering memukul dada mereka ketika bercakap mengenai pegangan kumpulan tersebut.

Sejak Mac lalu, tiada seorang pun ahli kumpulan itu dibenarkan menonton televisyen selain mereka perlu berdoa pada pukul 3 pagi setiap hari, lapor laman berita Impacto Venezuela.

Pengikut wanita pula dilarang membasuh rambut mereka dan tidak boleh menunjukkan wajah ketika meninggalkan kediaman. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI