fbpx

Harapan cerah Malaysia di Piala Dunia 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL (dua dari kanan) bersama barisan pemain negara pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. - MHC

PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara mempunyai peluang seimbang pada pentas Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India dari 13 hingga 29 Januari depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama juara dunia tiga kali yang juga finalis edisi terdahulu, Belanda; naib juara benua Amerika Selatan, Chile dan gergasi Oceania, New Zealand.

Berdasarkan undian itu, Belanda, No.3 dunia, menjadi pilihan utama untuk menempah tiket automatik ke suku akhir sebagai juara Kumpulan C berdasarkan status juara Eropah dengan dua pingat emas Sukan Olimpik.

MALAYSIA diundi dalam Kumpulan C bersama Belanda, New Zealand dan Chile pada saingan Piala Dunia 2023 di India bermula 13 Januari depan.

Mengikut statistik, Malaysian Tigers yang kini di ranking ke-10 dunia, tidak pernah menewaskan Belanda dalam 11 pertemuan rasmi sejak mencatat kemenangan 2-1 ketika edisi Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur.

Pencapaian terbaik ke atas Belanda adalah seri tanpa jaringan sewaktu Sukan Olimpik Sydney 2000, manakala tiga pertembungan terakhir tewas teruk 0-7 di Piala Dunia 2018 selain 4-6 dan 2-6 dalam dua aksi persabatan pada 2019.

 

Realistiknya, Malaysia dan New Zealand dijangka boleh menghuni tempat kedua dan ketiga Kumpulan C untuk layak ke pusingan crossover menentang pasukan Kumpulan B dalam misi mencari tiket ke suku akhir.

Rekod pertemuan menyaksikan Malaysia berjaya mencatat dua kemenangan, empat seri dan empat kekalahan sepanjang 10 pertemuan terakhir dengan pasukan No.9 dunia itu sejak Piala Sultan Azlan Shah 2016.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Arul Selvaraj tidak boleh memandang rendah cabaran Chile kerana pasukan No.23 dunia itu mampu menjadi pengacau kepada peluang Malaysia dan New Zealand.

Sementara itu, Australia dan Argentina menjadi antara dua pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Kumpulan A yang turut diisi tuan rumah Sukan Olimpik 2024, Perancis serta Afrika Selatan.

Juara bertahan, Belgium berdepan laluan mudah bersama Jerman dan dua wakil Asia, Korea Selatan serta Jepun, manakala tuan rumah India berentap dengan tiga pasukan Eropah iaitu England, Sepanyol dan Wales. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI