PETALING JAYA – Siri animasi popular kanak-kanak Peppa Pig yang menampilkan watak baharu iaitu pasangan lesbian minggu lalu menimbulkan rasa tidak senang ibu bapa di negara ini.
Namun di negara Barat media menyifatkan adegan pengenalan watak lesbian itu sebagai ‘the ground breaking episod’.
Sebelum ini siri terkenal kanak-kanak itu memperkenalkan adegan bercium-ciuman antara pasangan sejenis yang kemungkinan besar akan memberi pengaruh negatif dalam kalangan kanak-kanak.
Seorang ibu di media sosial dikenali Rosmah berkata, sebelum ini kartun ini banyak kebaikan, mengajar anak bercakap English dengan baik, sekarang tiba-tiba ada benda songsang.
“Menyakitkan hati, kenapa cerita kartun perlu ada dakwah macam ini,” tulisnya.
Seorang lagi ibu dikenali Durra menulis, perkara itu (lesbian) tidak sepatutnya dimomokkan dalam siri kartun yang ditonton oleh jutaan kanak-kanak.
“Lepas satu-satu siri kartun ada unsur tidak senonoh, kenapa teruk sangat dunia sekarang,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE