fbpx

Mahkamah: Majikan wanita didakwa mendatangkan cedera parah pada amah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rineshini Naidu diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. FOTO FIRDAUS MOHD. JOHARI

SELAYANG – Seorang majikan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan kayu terhadap pembantu rumahnya warga Indonesia akhir bulan lalu.

Tertuduh K.Rineshini Naidu, 35, yang juga seorang pengurus sebuah syarikat swasta membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan, Rineshini Naidu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap seorang wanita warga Indonesia Zailis, 46, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Industri Balton, Gombak di sini pukul 11 pagi pada 30 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

“Pagi tadi tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor atas pertuduhan Antipemerdangan Orang (ATIP).Pihak pendakwaan memohon mahkamah ini membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Klang untuk dibicarakan bersama,” katanya.

Bagaimanapun peguam A.Narainasami yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai anak kecil selain tidak membantah sekiranya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang untuk dibicarakan bersama.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen Klang Rineshini Naidu, dan suaminya S. Vijiyan Rao, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdagangkan amah sama bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sehingga menyebabkan kecederaan parah antara Mac dan Ogos tahun ini.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa dengan niat bersama-sama melakukan perbuatan itu terhadap Zailis, 46, pada tempat sama antara Mac hingga 30 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 13 (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Sesyen Klang kemudian membenarkan Rineshini Naidu dan suaminya diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semua kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI