PUTRAJAYA – Kementerian Luar berjaya memudah cara penghantaran seramai 450 pelajar Malaysia untuk kembali menyambung pengajian di China menerusi penerbangan sewa khas.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, kesemua penuntut terbabit dihantar menerusi proses penyelarasan dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) terus ke Shanghai.
“Ini berikutan persetujuan dicapai antara Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan rakan sejawatannya, Wang Yi pada Disember 2021 dan ketika lawatan Julai lepas,” katanya.
Setakat ini, pihak kementerian berkenaan dengan kerjasama Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur telah memudah cara melalui tiga penerbangan khas pada 8 Ogos dan semalam.
Baki pelajar yang masih lagi berada di negara ini dan berhasrat kembali meneruskan pengajian di China ujar Wisma Putra, perlu mendapatkan surat jemputan atau juga borang kod JW201.
Ia akan diberikan pihak universiti masing-masing dan mereka kemudian boleh mengemukakan permohonan visa untuk mengembara ke China terus di pejabat kedutaan negara berkenaan.
Pelajar yang menerima surat jemputan atau JW201 dan ingin menaiki penerbangan sewa khas boleh menghubungi Pasukan Carter MAB melalui email [email protected].
“Pihak Wisma Putra dan Kedutaan Besar China dengan kerjasama MAB akan memudah cara proses penghantaran pelajar agar dapat menyambung balik pengajian di negara itu,” katanya.
Berdasarkan laporan media tempatan, dianggarkan terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia tidak dapat balik ke China akibat sekatan pergerakan negara itu susulan isu wabak Covid-19.
Bagaimanapun akhir bulan lepas, Kedutaan Besar China di beberapa negara telah pun mula memulihkan pengesahan visa bagi memudahkan penuntut meneruskan kembali pengajian. – KOSMO! ONLINE