SHAH ALAM – Insentif RM100 diberikan kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terpaksa berpatah balik ke kampung selepas mendaftar susulan penangguhan pendaftaran yang dilaksanakan.
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, bantuan menerusi UiTM Prihatin juga membabitkan pelajar yang telah mendaftar dan terus tinggal di kolej-kolej kediaman dan di luar kolej kediaman UiTM Shah Alam dan kampus cawangannya.
Katanya, pengurusan tertinggi universiti juga telah bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran kolej untuk bulan Oktober 2020 kepada semua pelajar yang tinggal di kolej kediaman UiTM Shah Alam dan Kampus Cawangan.
“Sejumlah 3,252 pelajar yang direkodkan datang mendaftar secara fizikal bermula Khamis hingga Sabtu lalu dengan 940 memilih untuk terus kekal di kolej kediaman UiTM.
“Pelajar yang kekal di kolej-kolej kediaman akan terus dipantau dan dibantu mengikut keperluan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka susulan peningkatan kes Covid-19.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad dipetik berkata, pihaknya berharap agar IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala yang berbangkit berhubung penangguhan tersebut termasuk pelajar yang telah tiba di kampus masing-masing boleh terus kekal di kampus dan mengikuti arahan seterusnya oleh pihak universiti.
Mengulas lanjut, Mohd. Azraai menegaskan inisiatif dan insentif yang dilaksanakan itu selari dengan saranan Noraini supaya IPT memahami kesulitan dan kekangan yang dihadapi penuntut.
“UiTM akan memastikan penuntutnya kekal selamat, sihat dan tabah dengan cabaran dihadapi ekoran pandemik Covid-19 dan memberikan jaminan kebajikan dan keselamatan pelajar akan sentiasa dipantau dan diberikan keutamaan.
“Lebih penting dengan inisiatif dan insentif ini diharap para pelajar kekal tenang, tabah dan meneruskan pengajian mereka dalam suasana kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara,” katanya. -K!ONLINE