LONDON – Masih belum sempurna. Itulah gambaran mengenai kemunculan semula juara dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebanyak enam kali, Marc Marquez ketika turun pada sesi ujian di Litar Misano, Itali kelmarin.
Pelumba Sepanyol itu dilihat menderita menahan kesakitan ketika turun di Misano meskipun telah melakukan pembedahan keempatnya pada Jun lalu untuk merawat kecederaan ketika terjatuh pada Grand Prix (GP) Sepanyol (2020).
Pelumba Repsol Honda itu menyelesaikan 39 pusingan kelmarin dengan catatan satu minit 32.395s dan dipisahkan 0.864s dengan Aleix Espargaro yang mencatatkan waktu terpantas pada hari pertama sesi ujian berkenaan.
Meskipun mengakui keadaannya bertambah baik, namun Marquez mengakui siku dan belakang badannya terasa sakit.
“Saya tidak begitu menikmati ujian pertama ini kerana bergelut mendapatkan rentak tetapi kemudian saya mula mendapatkan perasaan bersama jentera ini semula.
“Sejujurnya, saya lebih menderita daripada menikmati sesi ujian pertama ini, tetapi saya hanya menumpukan perhatian pada perjalanan saya, cara menunggang jentera dengan sebaiknya.
“Anda tidak tahu bagaimana keadaan sebenar selepas berehat lama tetapi catatan pada hari ini tidak terlalu teruk. Bagaimanapun, perkara paling penting ialah badan dan lengan saya dalam keadaan baik.
“Kini, saya hanya merasa sakit di bahagian siku dan bahu, mungkin ia lebih kepada otot sahaja. Tulang saya dalam keadaan 100 peratus baik dan tidak rasa sakit,” katanya.
Dalam pada itu, Marquez turut mengakui terlalu awal buatnya untuk memikirkan soal perjalanan kariernya musim depan dan akan cuba memanfaatkan sesi ujian tersebut.
“Saya perlu memahami tahap penerimaan badan saya. Jadi saya perlu masa menyesuaikan diri dengan jentera untuk menilai keadaan saya dari semasa ke semasa,” ujarnya. – AGENSI