fbpx

Implikasi ‘sejarah sadis’ Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Balqis

SEJAK usia ‘tadika’, pelakon remaja Puteri Balqis memikat emosi khalayak bahkan meraih populariti bukan sedikit hasil kecemerlangan penghayatan karakter rekaan kejiwaan bukan level kanak-kanak seusianya.

Ketika anak-anak sebayanya dipupuk dengan segala-galanya mengikut kemampuan ibu bapa, dia sudah berpanas dan berhujan di lokasi pekerjaan.

Dia menjadi pekerja seni yang sinonim dengan limpahan populariti dan glamor, walhal dia masih kanak-kanak. Itu ukuran glamor yang dipersembahkan.

Khalayak tidak salah saat menilai istilah selebriti kerana itulah yang dijual mereka. Ironinya, realiti, latar belakang dan dunia di sebalik layar tontonan, hidupnya tidak seindah seperti yang ditayangkan.

Puteri Balqis melalui semua hampir semua episod tersebut. Warna-warni dan hitam putih yang dilalui adakalanya tidak tercapai akal orang dewasa marhaen. Dia melalui era kemilau dan tidak lama kemudian bertukar kelabu.

Dia menjauhkan diri daripada tawaran dan meninggalkan persoalan sehingga bertahun-tahun tanpa kepedulian umum. Untuk kanak-kanak seusianya, jawapan paling mudah pastilah berbalik kepada pendekatan ibu bapa.

Yang hanya didedahkan, Puteri Balqis berdepan masalah kesihatan, selebihnya khalayak tidak banyak tahu.

Dia dikhabarkan mengisi hidup dengan menulis dan menjual buku puisi di sekitar ibu kota, tidak ubah seperti anak senja mahupun seniman jalanan.

Dipendekkan kisah, dramatis yang meledak dengan naskhah Akulah Balqis kembali menjadi sorotan apabila mula mengisi akaun media sosialnya dengan penampilan yang dikatakan liar.

Dia kembali berlakon dengan perubahan fizikal dan penampilan sekali gus mengalih sudut pandangan khalayak tentang kehidupannya yang perlahan-lahan didedahkan dengan pelbagai episod kesukaran seperti tidak malu mengakui ibunya menjadi pengutip barangan terpakai dari tempat pembuangan sampah untuk menampung kehidupan.

Namun apa yang mengejutkan apabila gadis berusia 15 tahun itu membuka sejarah hitamnya sebagai pengisian melalui wawancara dengan satu saluran YouTube, baru-baru ini.

Natijahnya besar, silapnya pendedahan tersebut tanpa tapisan dan tidak berada di saluran yang betul.

Dia dilihat sebagai selebriti, namun pada masa sama, kita hampir terlupa bahawa Puteri Balqis masih seorang remaja bawah umur yang dilindungi bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Dikatakan membuka aib, namun pendedahan sadis yang dikatakan tidak wajar itu membuka pintu kepada penderitaan emosi yang dialami selama ini ditanggung dibawa ke muka pengadilan. Puteri Balqis sendiri sudah membuat laporan polis. Orang yang disyaki juga sedang disiasat.

Jika ada terus mengecam tindakannya, perlu ingat satu perkara, selebriti yang sudah berdekad dalam industri pun ada yang masih dangkal mempertahankan kemabukan sendiri, inikan pula gadis remaja seperti Puteri Balqis yang masih bawah umur.

Semoga menjadi iktibar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI