Oleh MARLIA ZAKARIA
PETALING JAYA – Tular di laman sosial Twitter mengenai pramugari di sebuah syarikat penerbangan berdepan risiko dikenakan tindakan tatatertib selepas didakwa memberi kacang kepada seorang pempengaruh (influencer) dalam jumlah yang banyak.
Kemungkinan itu berlaku selepas pempengaruh tersebut berkongsi kejadian tersebut di akaun Twitter miliknya baru-baru ini sambil memegang sebungkus besar plastik yang mengandungi kacang dan air.
Penyanyi Zarul Umbrella yang juga bekas pramugara di sebuah syarikat penerbangan turut bersetuju bahawa tindakan pramugari tersebut telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) sesebuah syarikat penerbangan.
“Sesuatu yang mengecewakan. Ikutkan hanya bagi setiap satu untuk setiap penumpang. Jika ada permintaan mungkin boleh bagi dua atau tiga (paket).
“Paling banyak lima atau enam. Kalau ada yang minta bawa balik pun mungkin boleh bagi 10 paket kecil,” ujarnya di aplikasi TikToknya semalam.
Tambahnya, krew kabin boleh memaklumkan tidak dapat memenuhi permintaan kerana ia diperuntukkan untuk penerbangan yang seterusnya.
“Kalau tiada beritahu, maaf tak boleh. Kesilapan, mungkin pramugari tu dah nasihatkan supaya dia diam-diam saja kerana ia melanggar prosedur tetapi tidak diendahkan.
“Cuma di pihak kabin krew, tak sepatutnya beri sebanyak itu kepada penumpang,” katanya. -KOSMO! ONLINE