JOHOR BAHRU – Kesedaran awam di negeri ini mengenai kepentingan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) masih rendah.
Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, ia hanya melibatkan 13 peratus pekerja yang bekerja sendiri di negeri ini iaitu kira-kira 34,806 individu.
Beliau berkata, jumlah itu masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah 267,500 pekerja yang bekerja sendiri di Johor.
Katanya, beliau berharap jumlah kadar peratusan pencarum bagi skim tersebut akan melonjak selepas ini.
“Pada tahun ini, kita sasarkan lagi 10 peratus iaitu 31,000 pekerja sendiri akan mencarum dibawah SKSPS.
“Sehingga bulan lalu, terdapat 18,788 individu bekerja sendiri berdaftar dibawah SKSPS. Bagi tempoh yang sama, 158 kes diterima membabitkan jumlah bayaran faedah bernilai RM210,201,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat SKSPS bagi pengamal media yang bekerja sendiri di Bangunan Perkeso Johor di sini hari ini.
Sing Chuang berkata, SKSPS perlu diberi pendedahan yang menyeluruh untuk memastikan lebih ramai individu yang bekerja sendiri mendaftar dengan skim berkenaan.
“Saya rasa skim ini perlu diwar-warkan kerana masih ramai lagi tidak faham. Caruman dibawah skim ini sangat minima iaitu RM13.10 hingga RM49.40 sebulan mengikut kategori, namun manfaatnya sangat besar.
“Penghantar makanan antara pekerja sendiri yang berisiko tinggi, jika mencarum mereka dapat perlindungan.
“Sekiranya meninggal dunia semasa bertugas, waris akan dapat pencen setiap bulan seumur hidup, termasuk anak sehingga berusia 21 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE