PORT DICKSON – Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam insiden melibatkan sebuah bot yang sedang menarik penumpang menaiki pelampung ‘Great Big Marble’ di Pantai Batu 8, Teluk Kemang di sini yang dilanggar sebuah bot lain dari arah bertentangan seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal pihaknya mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 5 petang pada 5 September lalu.
“Ketika itu, lebih kurang empat ke lima orang penumpang sedang menaiki ‘Great Big Marble’ tersebut dan merupakan pengunjung dari Kuala Lumpur yang datang ke Port Dickson sempena cuti persekolahan.
“Setakat ini, pihak polis masih belum menerima apa-apa laporan ekoran insiden berkenaan. Mangsa juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah menyelesaikan perkara tersebut secara baik dengan pengusaha bot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 25 saat berkenaan sebuah bot yang sedang menarik penumpang menaiki ‘Great Big Marble’ secara tiba-tiba telah dilanggar sebuah bot lain dari arah bertentangan. -KOSMO! ONLINE