KUALA NERUS – Sekumpulan pemancing berjaya menangkap seekor buaya tembaga yang berkeliaran di Sungai Sentosa berhampiran Kampung Ladang Sentosa, Tepoh di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 5.45 petang itu, kaki salah seorang pemancing tersebut hampir disambar buaya yang seberat kira-kira 70 kilogram itu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam Abd. Rahman berkata, sepasukan anggota APM Kuala Nerus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penangkapan buaya tersebut.
“Haiwan reptilia yang sepanjang kira-kira 2.3 meter itu kemudiannya diserahkan kepada skuad APM Terengganu pada pukul 6.15 petang.
“Kita percaya buaya tembaga itu tersesat memasuki sungai berkenaan dari habitat asalnya tidak jauh dari sungai tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Che Adam berkata, buaya tembaga tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Beliau berkata, penangkapan buaya tembaga itu merupakan yang pertama kali di negeri tersebut dalam tempoh tiga tahun. – K! ONLINE